Tuesday, May 8, 2007

EQ dalam Meningkatkan Potensi Diri

Kesedaran kendiri kita menguasakan kita untuk mengkaji pemikiran kita sendiri. Ini berguna terutama dalam membina suatu matlamat peribadi kerana kedua-dua anugerah unik manusia yang membolehkan kita membina matlamat iaitu imaginasi dan suara hati merupakan fungsi primer sebelah kanan otak kita. Memahami cara menggunakan kecerdasan emosi banyak menambahkan kebolehan membina matlamat pertama kita tanpa dipengaruhi oleh kepusatan lain yang akan menghilangkan kawalan diri serta prinsip sebenar.

Banyak penyelidikan telah dijalankan selama beberapa tahun tentang apa yang dinamakan Teori Kecerdasan Emosi. Hasil menunjukkan bahawa setiap hemispera otak kiri dan kanan lebih cenderung berkhususkan dan mengawal fungsi yang berlainan.

Dengan kelahiran istilah Kecerdasan Emosi (Emotional Intelligence atau EQ) seperti yang diketengahkan oleh Daniel Goleman dalam Poh Swee Hiang (2005) dan menjadi begitu popular dewasa ini menjadikan konsep EQ begitu penting dalam membina matlamat kehidupan.

Sebelum mula menentukan matlamat dan prinsip hidup adalah penting untuk kita mengetahui tentang kecerdasan emosi kerana EQ memainkan peranan penting dalam elemen-elemen seperti perasaan, sistem nilai dan kepercayaan, meningkatkan keyakinan diri dalam proses membuat keputusan, membina matlamat hidup, memberi pendapat, membentuk personaliti dan pegangan hidup seseorang.

Konsep EQ akan membolehkan kita menyusun keutamaan mengikut konsep-konsep yang berkaitan seperti matlamat dan prinsip yang berlandaskan kecemerlangan, perhubungan interpersonal, kebolehan bersosial, kematangan psikologi dan kesedaran emosi. Kajian-kajian mendapati bahawa penekanan tentang unsur-unsur yang ada kena mengena dengan EQ akan membolehkan seseorang menyusun kehidupan berdasarkan matlamat dan prinsip yang dibina.

Kajian juga melihat bagaimana kaitan positif antara EQ dengan sifat kepimpinan, pencapaian secara kumpulan, pencapaian individu, perhubungan sosial, perubahan dalam pengurusan dan di samping menyediakan alat pengukur kepada kejayaan tersebut. Menurut Muhamad Jantan (2005) kecerdasan EQ adalah satu kebolehan yang dapat membantu mengharmonikan masyarakat dan meningkatkan nilai dan aset pada masa akan datang.


Kecerdasan emosi menjadi penting apabila kita cuba mencipta imej perasaan dalam perkataan pernyataan matlamat. Menulis matlamat dapat memurnikan dan menjelaskan pemikiran serta membantu menghuraikan keseluruhan kepada bahagian-bahagian yang lebih spesifik. Kita semua mempunyai pelbagai peranan dalam kehidupan kita. Setiap manusia mempunyai keupayaan atau bidang berlainan, di mana kita memegang tanggungjawab bagi memenuhi setiap peranan yang kita pegang. Misalnya, saya mungkin mempunyai peranan sebagai seorang individu, isteri, ibu, guru, ahli agama dan ahli masyarakat. Setiap peranan ini penting bagi saya menentukan keutamaan dalam membina matlamat dan prinsip hidup.

Satu masalah utama yang timbul bagi mengenal pasti matlamat adalah apabila manusia berusaha menjadi lebih berkesan dalam kehidupan mereka tanpa berfikir secara mendalam, mereka akan kehilangan rasa tanggungjawab, keseimbangan ekologi semula jadi yang perlu untuk mencapai hidup yang lebih harmonis. Mereka mungkin akan dibinasakan oleh keutamaan kerja dan mengabaikan kesihatan peribadi. Atas nama kejayaan professional mereka mungkin akan mengabaikan perhubungan yang paling bernilai dalam kehidupan mereka.


Kita mungkin mendapati bahawa pernyataan matlamat kita lebih seimbang, lebih mudah digunakan jika kita pecahkannya kepada matlamat yang lebih spesifik dalam kehidupan. Lihatlah peranan professional anda. Apa yang ingin anda lakukan dalam bidang itu? Apakah matlamat anda dalam bidang tersebut? Kemudian bayangkan peranan peribadi anda sebagai suami, isteri, ayah, ibu, jiran atau sahabat. Apakah yang ingin anda lakukan dalam peranan itu? Apakah yang penting kepada anda? Apakah matlamat anda dalam membina peribadi anda?

Begitu juga jika anda ingin membina sebuah bangunan yang besar. Sudah tentu anda telah mencipta plannya terlebih dahulu. Tidak mungkin seseorang itu berjaya membina sesebuah bangunan yang besar tanpa mecipta plannya terlebih dahulu. Menjalani kehidupan sama dengan melayari kapal di tengah lautan atau membina sesebuah bangunan. Jika anda tidak mempunyai perancangan atau matlamat yang tertentu, arah tuju kehidupan kita bukan sahaja tidak boleh berkembang, bahkan akan menghadapi kegagalan.

Oleh itu kesimpulannya, menentukan matlamat adalah penting untuk membantu merancang kehidupan dengan lebih baik dan teratur. Sama ada boleh mencapainya atau tidak, itu tidak penting. Apa yang penting ialah cuba menentukan matlamat dan cuba mencapainya, tidak kira berapa lama matlamat kita boleh tercapai.

Langkah utama untuk menentukan sesuatu matlamat ialah matlamat tersebut hendaklah ditulis pada sehelai kertas. Menulis matlamat pada sehelai kertas akan memberi atau perangsang kepada kita untuk mendapatkan idea-idea yang berkesan bagi mencapai matlamat. Apabila mula menulis matlamat pada kertas, daya pemikiran akan berfungsi membantu mencari idea-idea untuk mencapaikan matlamat. Dengan menulis matlamat pada kertas juga diibaratkan telah menanam semangat untuk mencapai matlamat dan kita telah berusaha dan mengambil tindakan untuk mencapainya.

Matlamat tersebut mestilah jelas dan manasabah boleh dicapai pada sesuatu masa tertentu. Tuliskan tarikh sebenar yang boleh mencapai matlamat tersebut. Sebagai seorang manusia, kita hanya merancang, yang menentukannya adalah Allah. Oleh itu jika tarikh untuk matlamat telah sampai dan matlamat tidak juga boleh dicapai, maka tidak perlu berputus asa. Apa yang perlu dilakukan ialah ubah tarikh lain pula. Mungkin boleh mengubahnya enam bulan akan datang atau setahun akan datang.

Walaupun ianya telah meminda kepada beberapa tarikh, kita tidak perlu lari dari matlamat. Jangan putus asa. Ibarat orang yang sedang belayar menuju ke sesuatu distinasi, lautan yang bergelora akan tempuhinya walaupun mengambil masa yang lama. Begitu juga di dalam menentukan matlamat. Apabila matlamat sudah ditentukan, hadapi segala rintangan walaupun mengambil masa yang lama. Senaraikan langkah demi langkah untuk mencapai matlamat. Kita perlu memikirkan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat.

Kita juga perlu menulis apakah halangan atau rintangan yang akan dihadapisemasa menjalankan langkah demi langkah untuk mencapai matlamat. Seperti seorang yang ingin belayar di tengah lautan yang luas, ia telah memikirkan apakah halangan atau rintangan yang akan dihadapinya semasa pelayarannya supaya ia dapat membuat persediaan terlebih dahulu.Begitu juga di dalam menentukan matlamat, kita perlu memikirkan apakah halangan atau rintang yang akan dihadapi. Oleh itu dengan memikirkan apakah halangan atau rintangan yang akan dihadapi, membolehkan kita membuat persedian terlebih dahulu. Maka dengan ini, kita tidak akan berputus asa apabila sesuatu halangan atau rintangan menimpa semasa mengikuti langkah-langkah untuk mencapai sesuatu matlamat.

Selepas menulis matlamat di kertas dan telah merancang langkah-langkah yang akan diambil, mulakan langkah dengan segera. Bertindak segera mengikut langkah-langkah yang telah dirancang. Kerana pepatah ada mengatakan, setiap perjalanan bermula dari langkah pertama. Begitu juga untuk menentukan matlamat, kita perlu memulakan langkah dengan bertindak segera untuk memulakannya. Jika tidak mengorak langkah segera, matlamat tidak akan tercapai.

Sebelum masuk tidur, lihat dan baca matlamat yang telah ditulis pada kertas. Dengan mengingati matlamat setiap malam, daya pemikiran kita sentiasa berfungsi untuk membantu mencapai matlamat. Dengan mengingati matlamat juga, membolehkan kita mengetahui kemajuan dalam mencapai matlamat setiap hari. Adakah kita semakin dekat pada matlamat atau semakin jauh daripada matlamat.
Sesungguhnya untuk membentuk “personaliti cemerlang” yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri, kita harus mengatur kehidupan dan perjalanan hidup kita dengan sebaik mungkin dan perancangan serta matlamat kehidupan yang dirancang secara spesifik akan membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih berkesan dan mencapai keseimbangan dalam hidup. Sesuatu yang perlu kita ketahui bahawa setiap perancangan matlamat bukan hanya untuk mencapai kecemerlangan sesebuah organisasi ataupun syarikat, Membina matlamat dan prinsip dalam kehidupan peribadi juga sangat penting untuk membantu perkembangan emosi dan rohani yang stabil dan harmonis.

1 comments:

JOM JALAN said...

Font-nya kecik sangatlah susah nak dibaca oleh orang tua.