Wednesday, December 26, 2007

Mengenal keaiban-keaiban Diri

Ketahuilah bahawasanya Allah azzawajalla, bila menghendaki bagi hambaNya sesuatu kebaikan, terlebih dulu dinampakkan kepadanya keaiban-keaiban diri sendiri. Maka barangsiapa bashirahnya (matahatinya) terbuka, tidak akan terlindunglah segala keaiban dirinya. Jika ia telah mengetahui keaiban diri, mudahlah ia mencari ubatnya. Akan tetapi kebanyakan orang tiada nampak keaiban diri sendiri. Dia boleh nampak debu yang kecil di mata orang lain, tetapi pohon di hadapan mata sendiri tiada dilihatnya.

Jadi barangsiapa yang ingin mengenal atau mengetahui keaiban-keaiban diri sendiri, maka di sini disediakan empat cara:
Cara pertama:
Hendaklah ia duduk dengan seorang Syaikh (Guru) yang terang matahatinya. Guru itu boleh mengetahui keaiban-keaiban diri, dan dapat menyingkap apa-apa yang bersarang di dalam hati dari berbagai-bagai noda dan penyakit, lalu ia pun menurut petunjuk-petunjuk yang diberikan oleh guru itu dalam perjuangan menolak bahaya-bahaya itu. Inilah caranya seorang murid dengan gurunya, iaitu guru akan memberitahukan kepadanya segala keaiban-keaiban dirinya dan ditunjukkan pula cara-cara mengubatinya.

Cara kedua:
Hendaklah ia mencari seorang teman karib yang boleh dipercayai, bijaksana dan lurus agamanya, Teman ini akan memerhatikan segala tingkah lakunya. Apa yang dibenci dari kelakuan, perbuatan atau keaiban-keaibannya diingatkannya. Cara beginilah yang biasa dilakukan oleh orang-orang bijak pandai dari pemuka-pemuka agama. Umar Ibnul-Khattab r.a. pernah berkata: Semoga Allah merahmati orang yang menunjuki aku akan keaibanku. Beliau pernah bertanya kepada Huzaifah, katanya: Engkau adalah tempat Rasulullah s.a.w. menyimpan rahsianya mengenai orang-orang munafikin. Adakah kiranya padaku ini tanda-tanda nifaq?
Meskipun kita semua telah mengetahui, bahwa Saiyidina Umar itu mempunyai tingkatan yang tinggi dan kedudukan yang mulia, namun beliau masih juga mencurigai dirinya sendiri. Oleh itu sepatutnya setiap orang yang telah sempurna akalnya, dan yang mulia kedudukannya, hendaklah bersikap lebih sedikit kemegahannya, tetapi lebih banyak prasangkanya terhadap diri sendiri. Malah harus merasa gembira jika ada orang yang suka menegur tentang keburukan-keburukan perilakunya. Tetapi alangkah amat jarang sekali orang yang bersikap semacam ini! Ini semua terbit dari kelemahan iman manusia kepada Tuhan. Padahal budi pekerti jahat boleh diumpamakan seperti ular dan kala jengking yang suka menyengat orang.

Andaikata ada orang yang memberitahu kita, bahwa di dalam baju kita ada kala jengking, tentulah kita akan merasa terhutang budi kepada orang itu. Kita akan merasa gembira dan berterima kasih kepadanya, lalu kita segera pula menghapuskan kala jengking itu dan membunuhnya. Padahal sengatan kala jengking terhadap badan kita itu tidak kekal sakitnya, hanya sehari dua saja. Adapun penguasaan budi pekerti yang rendah ke atas pangkal hati dikhuatiri akan berterusan, kekal abadi sehingga sesudah mati.

Kemudian kita sering tidak senang jika ada orang yang mengingatkan tentang budi pekerti kita yang rendah itu, dan kita sendiri tidak pernah pula mencuba untuk menghilangkannya dari jiwa kita. Malah kita menentang pula orang yang memberi nasihat itu dengan berkata: Engkau juga tidak kurang cacatnya dariku. Dengan itu kita bukan mengambil manfaat dari nasihat orang itu, malah telah menghidupkan suatu permusuhan dengannya. Kelakuan serupa ini adalah timbul dari kekerasan hati yang telah disebabkan oleh terlalu banyak dosa. Dan pokok serta punca segala-gala itu ialah keimanan yang lemah.

Kita bermohon kepada Allah agar Dia mengurniakan kita petunjuk, menampakkan kepada kita keaiban-keaiban diri kita, dan mendorong kita supaya mengubatinya serta memberi kita taufiq dan hidayatNya, supaya kita dapat berterima kasih kepada sesiapa yang memberitahu kita tentang kesalahan-kesalahan kita dengan anugerah dan keutamaan Allah.

Cara ketiga:
Hendaklah mengambil faedah (berlapang dada) bila mengetahui keaiban-keaiban diri dari cacian lidah-lidah musuh, sebab pandangan orang yang benci itu akan menampakkan berbagai-bagai kekurangan diri. Barangkali faedah yang didapati dari seorang musuh yang hatinya penuh kebencian, dan mulutnya tidak lepas dari cacian, lebih banyak faedahnya dari seorang kawan yang suka bermuka-muka, menyanjung dan memuji-muji, padahal keaiban diri kita tidak pula ditunjukkan kepada kita. Hanyasanya tabiat itu memanglah lebih tertarik kepada mendustakan apa yang dikatakan oleh musuh walaupun benar, serta menganggap segala-gala itu timbulnya dari sebab hasad dan dengki. Akan tetapi bagi orang yang bijaksana, dianggapnya segala kata-kata musuhnya itu amat berguna, sebab keaiban-keaiban diri itu tidak boleh tidak mestilah dihambur-hamburkan oleh mereka.

Cara keempat:
Hendaklah ia suka bergaul dengan orang ramai. Kemudian setiap yang dilihatnya tercela di kalangan mereka itu, maka hendaklah ia bertanya pada diri sendiri, adakah perkara serupa itu dilakukannya. Sebab orang Mu’min itu adalah cermin kepada Mu’min yang lain. Sepatutnya ia boleh melihat dan meneliti keaiban-keaiban dirinya daripada keaiban-keaiban orang lain. Sesungguhnya tabiat manusia itu lebih kurang sama dalam menuruti hawa nafsu. Setiap suatu sifat yang ada pada orang lain, tidak mustahil ada juga pada diri sendiri, malah kadangkala lebih dahsyat dari itu, ataupun sekurang-kurangnya ada juga sedikit daripadanya barangkali. Sebaik-baiknya ia meneliti diri sendiri , dan adalah lebih baik ia membersihkan kecelaan dirinya daripada mencela orang lain. Ingatlah tiada cara lebih utama dari mendidik diri secara ini.

Andaikata semua orang mahu menjauhi segala kecelaan yang dilihatnya ada pada orang lain, niscaya mereka tidak perlu lagi kepada didikan pendidik. Kesemua ini adalah sebagai jalan keluar bagi orang yang tiada mendapatkan guru yang pintar yang boleh mendidik dan menasihatinya dalam urusan agama. Kecuali jika ia boleh mendapat seorang guru, maka samalah seperti mendapat seorang doktor. Hendaklah ia membiasakan diri dengan doktor itu, sebab doktor akan menyelamatkan dirinya dari penyakit.

Thursday, December 6, 2007

Kenali Diri Anda

Terima kasih kepada Professor Dr. Abdul Rahman yang banyak memberi penerangan beliau tentang Watak dan Personaliti ini. Kuliah beliau amat berkesan dan memberi input yang berguna kepada saya. Maka di sini saya akan berkongsikan dengan anda tentang lima jenis watak yang ditemui oleh Havinghurst dan Taba. Havinghurst dan Taba menyatakan bahawa setiap individu mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan satu watak daripada watak yang lain. Anda tergolong dalam watak dan personaliti yang mana ? Selamat meneroka diri anda. Renung-renungkan lah...........


Self-directive
Individu yang mempunyai watak ini berpegang kepada prinsip moral sejagat dan tingkah lakunya diarah oleh kod moral sendiri. Inividu ini mempunyai reputasi yang_tingqi dalam pergaulan seperti jujur, bertanggungjawab dan keberanian moral. Bagaimanapun, dia.lemah dari segi kesetiaan dan kemesraan. Individu yang mempunyai watak ini sanggup menerima tanggungjawab kepimpinan dan sentiasa ingin memperbaiki diri. Latarbelakang keluarganya adalah mesra dan penuh kasih sayang; Dia berasal dan keluarga yang berjaya, hasil daripada usaha sendiri, dan ini menghasilkan perangai self-directed. Oleh itu. individu ini meletakkan standard moral yang tinggi dalam dirinya. Kebanyakan individu yang berada pada kategori ini merupakan mereka yang berjaya dan hidup.


Adaptive
Individu ini dapat menyesuaikan dirinya dalam apa jua situasi dan keadaan. Dia seorang yang akur kepada keadaan atau persekitaran dan mampu berjaya kerana mudah menyesuaikan diri. Ini disebabkan mereka mempunyai social intelligence yang menjadikan sahsiah mereka tidak agresif. mesra serta boleh bercampur dengan semua peringkat masyarakat. Individu yang mempunyai watak ini biasanya datang dari keluarga yang penyayang dan liberal di mana mereka berasa selamat serta diberikan galakan dari kecil lagi supaya bergaul dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial.

Submissive
Individu dengan watak ini dikatakan mempunyai sifat suka menerima sesuatu secara pasif, tidak kritikal. tidak yakin pada diri sendiri, dan sangat patuh kepada autoriti. Mereka merasa selamat dengan mengakur kepada standard yang dikenakan oleh orang lain yang berkuasa. Individu submissive tidak suka berhadapan dengan konflik dan.sekiranya berlaku konflik. dia suka menarik diri. Individu ini mempunyai personaliti yang juga degil serta berkepala batu dan sukar untuk mempengaruhi atau mengubah keputusan mereka jika mereka sudah membuat keputusan tentang sesuatu. Ini menggambarkan sifat taksub mereka kepada sesuatu ideologi pemimpin atau autoriti. Individu ini datang dari keluarga yang tradisional (autoritarian) di mana cara didikan adalah menggunakan kuasa.

Defiant
Individu berwatak defiant ini suka menentang, bermusuhan atau melawan oranq lain. Mereka bersikap anti establishment dan menunjukkan dengan terang yang mereka bermusuh dengan masyarakat. Mereka tidak ada kejayaan sosial sama ada dalam kumpulan besar atau kecil. Individu ini tidak mempunyai suara batin dan hanya ada kepentingan diri dalam membuat sesuatu. Individu ini juga dikenali sebagai maladjusted, sesuatu yang negatif pada personaliti individu tersebut. Ini menyebabkan mereka tidak dapat membina hubungan yang baik dengan orang lain.


Unadjusted
Individu yang mempunyai watak ini dikenal pasti sebagai seorang yang insecure serta mempunyai banyak masalah tetapi hat ini tidak jelas kepada orang lain. Watak individu ini belum lagi wujud dan boleh dikatakan amoral, iaitu dia belum dapat mengenali sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk. Jahat atau baik. Oleh kerana individu itu unadjusted, dia selalu berasa tidak selamat dan sentiasa menghadapi masalah dengan keluarga atau kerja. Biasanya individu jenis ini tidak dapat mencapai kebolehan yang sebenar. Bagaimanapun mereka tidak terang-terang bermusuh dengan masyarakat dan masih cuba mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Tuesday, December 4, 2007

Sejauhmana kita menggunakan AKAL ?

Adakah dengan membaca setiap hari sudah menunjukkan kita menggunakan akal? Adakah menghafal setiap teori, falsafah dan prinsip sebagai landasan menunjukkan kita sudah mengunakan akal ? Lulus peperiksaan dengan cemerlang, memperolehi gred yang baik dan mengengam segulung ijazah sudah membuktikan kita menggunakan akal? Sejauhmana kita menggunakan akal dalam kehidupan kita? Apa bezanya orang berakal dan berilmu? Dan apa bezanya akal manusia dengan akal binatang?

Kajian saintifik tentang akal banyak dilakukan oleh para sarjana dan tokoh terkemuka, Malah tokoh-tokoh barat berjaya membuktikan bahawa binatang juga menggunakan akal dalam keadaan-keadaan tertentu. Anjing dan monyet digunakan untuk dilatih dan didik secara pelaziman menunjukkan respon yang positif terhadap hasil pembelajaran. Adakah hasil pembelajaran tersebut sudah membuktikan bahawa ujudnya pembelajaran kerana pengaruh akal?

Sebenarnya jika mengikut kajian, manusia hanya menggunakan akal mereka tidak sampai 10% daripada kapasitinya yang sebenar. Membaca, menghafal, mengingat, memahami, mengetahui tidak tergolong dalam penggunaan akal. Ianya lebih kepada menjana ilmu pengetahuan. Orang yang berilmu pengetahuan tetapi tidak menggunakan akal seperti menuang air di daun keladi. Itulah yang sedang kita hadapi kini, kebanyakkan daripada kita mempelajari ilmu hanya pada permukaan kulit sahaja. Sebab itulah ilmu kita hanya sia-sia. Kenapa setiap tahun ada sahaja para siswazah kita menganggur hingga mencapai puluhan ribu. Tidakkah ilmu itu dapat membantu mereka? Itulah kesannya apabila ilmu yang dituntut bukan dengan niat mulia tetapi bertunjangkan materialistik semata-mata. Jika ilmu dan akal disatukan, maka nescaya ianya mendatangkan banyak manfaat kepada manusia.

Apakah istimewanya manusia yang dianugerahkan akal? Apabila diteliti tentang konsep keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk lain ialah akal pemikiran. Berpandukan akal, manusia dapat mencari ilmu serta memandu mereka ke arah yang baik dan menilai mana yang benar dengan yang salah. Kesesatan dan kemusnahan manusia juga disebabkan mereka tidak menggunakan akal untuk tujuan yang baik. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika diarahkan untuk kebaikan, menjadikan seseorang itu mulia, sekiranya pula diarahkan untuk tujuan kemaksiatan dan kejahatan, menyebabkan manusia itu binasa dan hina.
Al-Quran menyebut banyak kali berkaitan dengan akal dan Allah menyatakan tentang bukti-bukti kekuasaan-Nya untuk manusia memikirkan dengan menggunakan akal untuk mengkaji, mencari ilmu dan mengukuhkan keimanan kepada-Nya, contohnya : Penciptaan buah-buahan dan segala apa yang ada di dunia adalah untuk mereka yang memikirkan dan suka menggunakan akal.

Akal fikiran merupakan anugerah Allah s.w.t yang paling utama kepada manusia, kriteria terpenting yang membezakan mereka daripada makhluk selainnya. Akal adalah neraca dalam menentukan kebaikan dan keburukan. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah Allah s.w.t yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang.

Kebahagiaan dan kesengsaraan abadi manusia di hari akhirat turut ditentukan oleh penilaian dan kebijaksanaan akalnya. Pengakuan yang dikemukakan oleh penghuni neraka begitu jelas menggambarkan realiti ini. Mereka berkata; Jika kami mendengar dan berfikir nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka, surah al-Mulk, ayat 10.

Menerusi akal, manusia berpeluang meningkatkan pencapaian dirinya sama ada untuk kehidupan dunia ataupun bekalan di hari akhirat. Al-Quran memberikan kedudukan yang istimewa kepada akal. Islam menjadikan berfikir sebagai satu kemestian ke atas semua manusia. Berfikir dianggap sebagai bentuk ibadah yang tertinggi. Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud: Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur serta berfikir pada kejadian langit dan bumi (lalu berkata) Tuhan kami sesungguhnya Engkau tidak jadikan semua ini sebagai satu kebatilan, maha suci Engkau. Maka lindungilah kami daripada azab neraka, surah al-Imran, ayat 190.

Demikian juga kita dapat melihat pandangan Islam yang begitu tinggi terhadap penggunaan akal fikiran yang membawa kepada perkembangan sains dan teknologi. Menurut Imam al-Ghazali juga sumber ilmu juga dapat dicapai dan diperolehi melalui akal, dimana akal itu hendaklah diarah kepada pemikiran atau fitrah akal yang positif hendaklah digunakan untuk mengkaji, berfikir dan memahami sesuatu hingga menghasilkan pengetahuan, sama ada berbentuk pengalaman atau ilmu itu sendiri. Maka di sini jelas bahawa, akal digunakan untuk berfikir bagi menjana ilmu baru, menyelesaikan masalah, mengabungkan sumber pengetahuan dan membentuk idea, membuat analisis, menilai dan mengambil tindakan. Sumber ilmu boleh didapati dengan belajar dan membuat kajian. Imam al-Ghazali menambah lagi, binatang yang tidak berakal boleh dibentuk dan dididik, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu.

Oleh itu anugerah akal merupakan sesuatu nikmat dan rahmat yang besar. Lantaran akal adalah amanah seperti nikmat lain. Islam melarang keras perbuatan merosakkan kawarasan akal. Sebagai rumusan, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, akal memerlukan dalil, Bertaqlid tanpa menggunakan akal adalah satu kebodohan manakala menggunakan akal sahaja tanpa wahyu Ila’hi dan sunnah nabi adalah satu penipuan. Justeru itu akal mesti digabungkan dengan ilmu penetahuan, kerana ilmu pengetahuan seumpama makanan dan akal umpama ubat.