Tuesday, May 8, 2007

Melihat Potensi Melalui Keazaman Tinggi

Mari kita renungi sejenak akan perjalanan hidup kita. Tanyai diri kita “ Aku jadi begini secara dirancang atau secara kebetulan? Maksudnya, jika kita merancang, maka segala pencapaian kita itu kita usahakan mengikut rancangan. Sebaliknya jika secara kebetulan, maka pencapaian kita itu terlaksana mengikut arus aliran hidup yang tidak direncanakan dan dirancangkan.


Daripada pemerhatian ahli psikologi, Ainon Mohd & Abdullah Hassan (2002) menerangkan secara umum orang tidak merancang hidupnya. Sebaliknya, kehidupan diandaikan sebagai satu perjalanan menghiliri sungai menuju kuala tanpa perancangan yang pasti akan pangkalan dan pelabuhan yang akan disinggahi. Tegasnya, kita menjalani hidup secara ikut-ikutan; orang bersekolah kita pun bersekolah, kemudian apabila sampai umur yang wajar, kita berkahwin seperti orang lain juga, masing-masingnya akhirnya sampai ke tahap masing-masing, tanpa adanya satu perancangan yang pasti, kita menggantungkan kejayaan dan percapaian kepada nasib. Kita membina kesimpulan bahawa orang beruntung dapat sampai ke menara gading sementara orang malang ada banyak alasan dan kriteria malang, mungkin kerana kemiskinan, kerana kebodohan dan seumpamanya, tidaklah begitu baik nasibnya.


Menurut Muhamad Jantan (2005) Di samping tidak adanya perancangan, kita selalunya tidak serius melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab. Misalnya, dalam keadaan tidak berancangan itu kita masuk ke dalam kumpulan ahli peniagaan dan mahu menjadi peniaga berjaya. Akan tetapi, cuba tanyai diri kita. Apakah aku sesungguhnya melaksanakan tugas sebagai ahli peniagaan itu? Berapa banyak masa yang kuperuntukkan untuk aku berniaga? Atau katakanlah kita seorang guru, Apakah aku melaksanakan tugasku sebagai guru dengan penuh tanggungjawab? Lazimnya, daripada pemerhatian para ahli psikologi, kita terlalu rencam dalam hidup, tidak tetap untuk sesuatu hingga menjadi seperti satu peribahasa Inggeris “A jack of all trades is a master of none.”

Apa yang jelas daripada huraian ini ialah bahawa, kita jarang sekali merancang untuk melaksanakan sesuatu. Akhirnya kita berbuat segala amalan kita tanpa tujuan dan matlamat yang konkrit. Padahal, kita yang mendukungi budaya Islam diajar bahawa “amal tanpa niat, batal”. Mari kita seterusnya bincangkan tentang apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan ini.


Semua amalan kita dimulai dengan niat. Solat, puasa, mandi dan semuanya dimulai dengan niat yang diikuti oleh amal atau perbuatan. Malah, dalam perundangan moden, orang yang membunuh tanpa niat lebih ringan hukumannya yang diistilahkan sebagai manslaughter (pembunuhan tanpa niat) dan bukan murder (pembunuhan). Semasa melakukan sebarang amal atau perbuatan, ada pula aturan, tatacara dan tatatertib yang ditentukan yang berkaitan dengan sesuatu amalan itu. Semua amal yang berbentuk ritual dan keagamaan (Islam), begitu. Lalu bagaimana dengan kerjaya kita? Adakah kita berniat dan membina tatakerja dan aturan yang pasti untuk melakukan kerja tersebut?


Menurut pemerhatian para ahli psikologi, hal ini jarang berlaku. Kerja sebagai guru misalnya, diceburi secara kebetulan atau kerana terpaksa. Maka itu mari sekali lagi kita tanyai diri kita. Adakah aku berniat untuk menjadi guru? Jika ada, bagaimanakah bentuk niat itu?


Saya tidak berani bertaruh untuk mengatakan yang anda tidak melakukannya kerana mungkin juga ada yang mengatakan ‘ya’. Mungkin ada orang yang membina azam dan tekad untuk menjadi guru. Namun, secara umum dapat dikatakan, terlalu sedikit bilangan kita yang memformalkan niat kita dalam urusan seumpama ini. Yang lazim ada ialah cita-cita atau lebih tepat pada fikrian saya, angan-angan, kadang-kadang, angan-angan itu hanyalah angan-angan kosong yang tidak diisi, seperti Mat Jenin. Kita berangan-angan untuk menjadi guru. Kemudian, angan-angan itu meluas tanpa pedoman atau tatacara yang khusus. Misalnya, Aku hendak menjadi guru. Maka itu, apabila kita sudah guru, minda kita sudah berpuas hati kerana pada hakikatnya, niat kita sudah terpenuh. Jika pun ada di antara kita yang berniat atau berazam, biasanya niat atau azam itu tidak jelas, tidak ada matlamat dan perincian perancangan pelaksanaannya seperti niat solat misalnya, yang bukan sahaja jelas tetapi lengkap dengan tatacara dan tatertibnya. Soalnya: bagaimanakah membina matlamat juang yang pasti itu?


Dalam buku-buku motivasi banyak dicontohkan matlamat yang pasti ini. Biasanya, diwujudkan dahulu satu pernyataan matlamat yang padanya dijelaskan secara terperinci akan sasarannya. Misalnya: aku hendak menjadi penulis penerima anugerah 10 tahun akan datang. Atau: aku hendak menjadi penulis yang mendapat pendapatan RM20 ribu setahun, atau aku hendak menulis dua buah novel setiap tahun, dan lain-lain lagi.


Setelah membina satu matlamat yang jelas begitu, kita perlu pula mempunyai iltizam yang kuat untuk menjayakannya. Biasanya tanpa iltizam, amal atau perbuatan tidak akan sempurna. Sementara itu, iltizam hanya dapat diperkukuh dengan azam dan matlamat juang yang jitu. Seterusnya, apabila kita mempunyai matlamat yang hendak dituju, yang didukung oleh iltizam yang padu, maka langkah selanjutnya ialah mencari jalan bagaimana dapat sampai kepada matlamat tersebut. Matlamat dan disandar pula dengan keazaman sebenarnya akan memperlihatkan keupayaan diri membina satu kekuatan dalaman yang meransang potensi diri seseorang indivisu itu menjadi cemerlang. gemilang dan terbilang. Insyalallah....

0 comments: