Tuesday, May 8, 2007

Menyusun keutamaan dalam hidup

Suatu perkara yang perlu dihayati dengan penghayatan yang sungguh-sungguh. Kita perlu membuat satu senarai keutamaan akan segala kegiatan kita. Senarai keutamaan ini mestilah dibina berdasarkan kepentingan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Ini bermakna segala aktiviti yang tidak berkaitan harus diletakkan pada keutamaan paling bawah kalau pun tidak digugurkan langsung. Misalnya, pada minggu itu ada perlawanan bola liga perdana di Stadium Sukan Likas atau siaran Akademi Fantasia yang amat kita minati. Tapi, jika kita lakukan maka terkorbanlah masa untuk memenuhi cita-cita kita itu. Di sini kita berdepan dengan suatu keperluan yang amat kritis. Kita perlu membuat pilihan, berbuat sesuatu untuk memenuhi matlamat atau menerima risiko menghadapi kegagalan dengan berbuat sesuatu yang tidak kena mengena dengan matlamat.

Bagaimanapun, yang lazim berlaku ialah, apabila orang ramai memenui cita-citanya dia selalunya menyalahkan unsur luaran. Amat kecil bilangan orang yang mengakui akan kelemahannya. Dalam hal memilih untuk pergi menonton perlawanan bola sepak liga perdana berbanding membaca dan membuat draf sebuah cerpen misalnya, siapa yang akan mengakui bahawa dia tidak menulis kerana dia gagal mengikuti jadual yang ditetapkan? Semua kita biasanya akan mencari alasan di luar diri kita. Untuk merasionalkan tindakan tersebut, alasan yang sering didengar ialah ‘SIBUK’. Akan tetapi soalnya, sibuk berbuat apa?


Sebagai orang Islam kita tahu bahawa dalam menjalani hidup, kita tergolong dalam orang yang rugi, kecuali kita berbuat kerja yang baik-baik dan kita bersabar (Surah al-Asr’), tapi berapa ramaikan di antara kita yang prihatin dan insaf akan hal itu? Bagi menentu dan menyusun keutamaan kita terlebih dahulu harus mengetahui apakah perkara keutamaan dalam kehidupan kita.

Setiap kita mempunyai pusat keutamaan, sungguhpun kadang kala kita tidak mengenalinya sebagai pusat keutamaan. Kita juga sebenarnya tidak menyedari tentang kesan menyeluruh pusat keutamaan itu terhadap segala aspek kehidupan kita.

Mari kita kaji tentang beberapa keutamaan yang telah ditulis oleh Steven Covey (2005) secara ringkas beberapa pusat keutamaan atau paradigma teras yang biasa dipunyai oleh setiap manusia dan untuk memahami bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita.

Kepusatan suami atau isteri
Perkahwinan boleh merupakan perhubungan manusia yang paling intim. Memang lazim dan patut seseorang memberikan keutamaan kepada suami atau isteri. Namun demikian, jika kita meletakkan keutamaan membina matlamat yang mana ianya terlalu dipengaruhi oleh suami ataupun isteri menyebabkan berlakunya pergantungan emosi yang kuat. Apabila tanggungjawab bertambah dan tekanan memasuki sesuatu perkahwinan. Konflik perkahwinan akan berlaku dan kesannya akan menyebabkan reaksi yang melampau, penarikan agresif, kemarahan dan akhirnya berlakunya perpecahan.

Kepusatan keluarga
Satu lagi keutamaan yang sering dilakukan ialah mengutamakan keluarga. Segala apa yang dilakukan adalah berfokuskan kepada menjaga maruah dan kebahagiaan keluarga. Kepusatan membina matlamat juga akan dipengaruhi oleh kebahagian dan kesejahteraan keluarga. Mereka yang berpusatkan keluarga merasakan keselamatan dan penghargaan peribadi daripada tradisi dan budaya keluarga. Mereka mudah merasa terganggu jika ada perubahan tradisi atau budaya atau ada pengaruh lain yang lebih kuat yang akan menjejaskan nama atau maruah keluarga.

Kepusatan kewangan
Satu lagi pusat yang logik dan amat biasa dalam kehidupan manusia adalah mencari wang. Seluruh kehidupan dan matlamat hidupnya adalah berpusatkan kewangan, mencari wang mengambil tempat pertama di dalam hidupnya. Keperluan yang lain tidak diutamakan sehingga keperluan kewangan itu dipenuhi, walaupun secara minima.

Kepusatan kerja
Orang yang berpusatkan kerja mungkin menjadi “workaholics” mendesak diri sendiri untuk menghasilkan yang terbaik hingga mengorbankan kesihatan, perhubungan dan bidang penting yang lain dalam kehidupan mereka. Identiti asas mereka berasaskan kepada bidang pekerjaaan mereka. Mereka mudah terganggu oleh sesuatu yang menghalang mereka dari terus berkerja. Kebijaksanaan mereka terhad kepada bidang kerja sahaja dan menyebabkan mereka kurang berkesan dalam bidang kehidupan yang lain.

Kepusatan benda dan pengiktirafan
Daya dorongan kebanyakkan orang lain adalah mengejar harta benda. Bukan sahaja barang maujud, barang kebendaan seperti baju berfesyen, rumah, kereta, barang kemas, tetapi juga harta benda tak ketara seperti kemegahan, keharuman nama, kemasyuran dan pengurniaan pangkat. Kebanyakkan orang menyedari bahawa banyak pengalaman negatif yang berlaku kerana dipengaruhi oleh harta benda. Kehidupan mereka akan sentiasa merasa terancam dan takut akan kehilangan harta benda dan hilang pengaruh dan kemasyuran nama.


Kepusatan kesukaan
Kepusatan kesukaan juga berkait rapat dengan harta benda. Segala matlamat mereka adalah untuk mencapai keseronokkan dan kepuasan dalam kehidupan.Tarikan gaya hidup berpusatkan kesukaan dan keseronokkan. Orang yang berpusatkan kesukaan dan keseronokkan mudah bosan dengan setiap peringkat keseronokkan yang berikutnya dan sentiasa mahukan yang lebih lagi. Dan kesukaan yang berikutnya mestilah lebih besar dan lebih baik, lebih mendebarkan dan diiringi dengan perasaan kepuasan yang lebih tinggi.

Kepusatan musuh/kawan
Segala tujuan dan matlamat hidup berfungsikan cermin sosial dan amat bergantung kepada pendapat orang lain, kriteria membuat keputusan juga mengambil kira apa pandangan mereka terhadap agenda yang anda buat. Orang yang berpusatkan kawan mudah tersinggung kerana mereka akan memandang dunia mereka melalui lensa sosial. Manakala mereka yang berpusatkan musuh pula bergantung kepada pergerakkan lawan, sentiasa berfikir tentang apa yang musuh mereka sedang buat sekarang, membuat keputusan berdasarkan apa yang mengganggu musuh, Kuasa negatif banyak mempengaruhi mereka.

Kepusatan agama
Mereka yang berpusatkan keagamaan akan sentiasa menjuruskan seluruh matlamat mereka ke arah ketuhanan. Lingkaran kehidupan mereka berdasarkan aktiviti keagamaan. Mereka akan berpandukan ajaran agama dalam menetapkan matlamat hidup. Namun begitu, jika mereka terlalu menumpukan kepada keagamaan sehingga tidak peka lagi kepada keperluan manusia yang mendesak di persekitaran mereka akan membawa mereka ke arah percanggahan pendapat dan ideologi yang melanggar hakikat keagamaan mereka sendiri.
Maka dengan itu, cuba anda melihat diri anda, dimanakah keutamaan yang selama ini anda letakkan dan percaya ataupun tidak bahawa keutamaan yang anda letakkan tersebut sebenarnya banyak mempengrauhi gaya hidup prinsip anda selama ini. Renung-renungkan lah...

0 comments: