Friday, November 23, 2007

Yang Jelas Yang Nyata

Yang jelas yang nyata
hanya Dia Sang Pencipta
kita hamba tiada apa
hina penuh noda dosa
diberi akal untuk belajar
diberi ujian supaya bersabar
diberi ilmu untuk bersyukur
diberi syarat supaya akur
limpah kurnia tiada terhingga
dari mula hingga akhirnya
hidup di dunia dengan izin-Nya
kembali nanti bertemu semula
akan dihitung amal segala
beruntung pada yang bersih jiwa
syurga menanti demikian indahnya
sebagai balasan kebaikan di dunia
semoga kita tergolong jua
diampunkan Tuhan sekelian dosa
di dunia dan akhirat mendapat redhaitulah
kemenangan yang tiada tara....

Wednesday, November 14, 2007

Guruku


Guru atau istilah lainnya adalah pendidik, pengajar, cikgu, mentor dan juga disebut sebagai tutor merupakan istilah yang digunakan kepada penyebar, penyampai ilmu pengetahuan sama ada secara formal atau tidak formal. Dalam definisi yang lebih luas, setiap orang yang mengajarkan suatu hal yang baru dapat juga dianggap seorang guru. Penghormatan terhadap seorang guru sangat tinggi, malah dalam setiap agama di dunia ini meletakkan taraf guru di tempat yang sewajarnya mereka perlu dihormati dan disanjungi.

Peranan dan tanggungjawab guru semakin mencabar, pendidikan dan ilmu semakin berkembang maju, arus perubahan teknologi pendidikan memaksa guru berlari bersama agar selaras dengan kehendak negara. Pendidikan berorentasikan kecemerlangan bangsa mengikut Falsafah Pendidikan Negara menjadi tunjang utama dalam mensasarkan pelajar berkembang secara seimbang dari pelbagai sudut. Dan dalam masa yang sama, pembangunan ini seperti terencat dengan palbagai masalah sosial, gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang melanda anak didik kita sehingga ianya menjadi satu tanda tanya, di manakah letakkan kesalahan dan kelemahan sistem pendidikan sekarang. Adakah Keseimbangan Intelek, Rohani, Jasmani dan Emosi yang diwawarkan dalam Falsafah Pendidikan Negara tercapai.

Setiap bahagian, cawangan, kementerian dan masyarakat sekeliling mengharapkan kualiti pendidik anak bangsa, pelbagai aktiviti-aktiviti dilaksanakan, sama ada peringkat sekolah, daerah mahupun peringkat yang lebih tinggi. Namun perkara yang lebih utama yang harus difokuskan ialah Guru. Kerana guru merupakan pedamping murid yang paling dekat. Baik guru, baiklah muridnya. Keberkatan guru akan turunlah keberkatan pada anak didiknya.

Kenapa kita perlu pergi jauh, sedangkan yang paling dekat dan berada di depan mata ialah guru. Pelbagai kursus disertai oleh guru dalam memantapkan ilmu pendidikan, malah setiap tahun guru dihantar bagi mengemaskinikan pengetahuan agar tidak lari dari arus pendidikan terkini. Namun seperti ada kekurangannya, dalam masa kita mengejar kelajuan teknologi pendidikan, kita lupa pada kemantapan rohani dan emosi guru. Adakah selama ini, kursus kemantapan rohani dan emosi guru diambil kira dalam agenda kursus yang diikuti oleh guru? Setakat mendidik dengan ilmu pengetahuan sahaja tidak mencukupi jika tidak diseimbangkan dengan kemantapan rohani dan emosi.

Jika falsafah pendidikan mensasarkan keseimbangan, maka guru juga perlu diseimbangkan dengan pengetahuan, kerohanian, emosi dan jasmani. Jika salah satu pincang, maka kegagalan melahirkan anak bangsa yang cemerlang dan seimbang jangan ditunding ke arah guru. Guru perlu mempunyai ilmu dan dalam masa yang sama pengisian ilmu kerohanian perlu agar mereka dapat menyampaikan ilmu dengan hati, perasaan, keperihatinan, kemuliaan dan kecintaan. Jangan jadi guru seperti robot yang tidak mempunyai hati dan perasaan, mengajar mengikut arahan, rigid terhadap ilmu pengetahuan semata-mata dan lupa kepada keperluan emosi dan rohani pelajar.

Guru yang kabur tentang hakikat dan tujuan sebenar dirinya mendidik hanya mencurahkan aspirasi dan khayalan yang tidak berteraskan nilai dan norma kemanusiaan. Mereka mendidik untuk membina intelektual yang pada hakikatnya menghakis dan meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan dan ketuhanan. Pada hal nilai- nilai ini perlu ditekankan untuk kesejahteraan. Apabila guru dibekalkan dengan kemantapan nilai-nilai, kesedaran. dan komitmen terhadap dunia pendidikan, barulah lahirnya kesimbangan dunia pendidikan.

Friday, November 9, 2007

Erti Kebahagiaan

Bahagia itu ada dijiwa
mahkota disinggahsana
rasa bahagia itu adalah suatu ketenangan
bila susah tiada gelisah
bila miskin syukur pada Tuhan
bila sakit tiada resah di jiwa
bukankah Tuhan telah berfirman
ketahuilah dengan mengingati Allah
jiwa akan menjadi tenang
kebahagian itu suatu kesyukuran
bila kaya jadi insan pemurah
bila berkuasa amanah
bila berjaya tidak alpa
bila sihat tidak lupakan Tuhan
hakikatnya bahagia itu adalah ketenangan
bila hati mengingati Tuhan