Sunday, May 6, 2007

Adakah Guru Profesional ?

Kita sering mendengar, melihat dan membaca pelbagai isu yang berkaitan dengan pemantapan profesion keguruan di negara kita yang sedang mengalami satu zaman reformasi yang begitu pesat selaras dengan era globalisasi. Apabila kita menyatakan isu pendidikan bertaraf dunia, maka kita tidak dapat lari dari memperkatakan tentang pendidikan berkualiti. Pendidikan berkualiti di semua peringkat pendidikan adalah merupakan antara ciri utama yang akan menentukan taraf profesionalisme keguruan itu sendiri.

Dalam konteks memantapkan profesion perguruan ini, Antara usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian ialah berusaha menyediakan guru terlatih yang mencukupi, adalah menjadi hasrat kementerian untuk mewujudkan 100% guru siswazah di semua sekolah menengah menjelang tahun 2000 dan 80% di sekolah rendah menjelang 2008, langkah ke arah tersebut sedang dan sudah dilaksanakan.

Menaikkan taraf Maktab Perguruan kepada Institusi Perguruan dengan menyediakan latihan peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. memantapkan aspek pemilihan bakal guru dan latihan guru, memantapkan karier keguruan, memperbaiki persekitaran kerja guru dan meningkatkan keyakinan dan rasa bangga para guru terhadap profesion keguruan.
Selain daripada itu ialah usaha menyediakan peluang melanjutkan pelajaran yang lebih kondusif di kalangan guru-guru yang sedang berkhidmat dengan menggadakan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah melalui pendidikan jarak jauh, program berkembar dengan Universiti, Program Khas Pensiswazahan dan sebagainya. Ini adalah bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme guru di Malaysia.

Bagi mempersiapkan generasi pelajar hari ini menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, ini amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara.

Namun demikian usaha ini tidak mungkin akan tercapai jika halangan-halangan memantapkan profesion guru sering dipandang remeh oleh masyarakat. Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti guru di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan guru dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara.

Fenomena lain yang sering menjadi halangan ke arah memantapkan profesion guru ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati burn out dikalangan guru ada kaitan sebab-akibat yang menjadi penghalang meningkatkan martabat guru dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti kerja-kerja pengkeranian, pertindihan tugas, kerja-kerja rentetan, kekaburan tugas dan sebagainya.

Sebagai golongan profesional, guru bukan sahaja perlu berilmu pengetahuan dan terlatih malah perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Usaha kerajaan meningkatkan penggunaan IT di kalangan guru merupakan satu tindakan ke arah anjakan paradigma guru. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan profesionalisme mereka bukannya sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka.
Oleh itu, usaha menyediakan diri ke arah peningkatan profesionalisme perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang guru itu mampu mengangkat martabat diri mereka ke tahap yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi Kualiti Pendidikan hari ini.

0 comments: