Tuesday, May 8, 2007

EQ dalam Meningkatkan Potensi Diri

Kesedaran kendiri kita menguasakan kita untuk mengkaji pemikiran kita sendiri. Ini berguna terutama dalam membina suatu matlamat peribadi kerana kedua-dua anugerah unik manusia yang membolehkan kita membina matlamat iaitu imaginasi dan suara hati merupakan fungsi primer sebelah kanan otak kita. Memahami cara menggunakan kecerdasan emosi banyak menambahkan kebolehan membina matlamat pertama kita tanpa dipengaruhi oleh kepusatan lain yang akan menghilangkan kawalan diri serta prinsip sebenar.

Banyak penyelidikan telah dijalankan selama beberapa tahun tentang apa yang dinamakan Teori Kecerdasan Emosi. Hasil menunjukkan bahawa setiap hemispera otak kiri dan kanan lebih cenderung berkhususkan dan mengawal fungsi yang berlainan.

Dengan kelahiran istilah Kecerdasan Emosi (Emotional Intelligence atau EQ) seperti yang diketengahkan oleh Daniel Goleman dalam Poh Swee Hiang (2005) dan menjadi begitu popular dewasa ini menjadikan konsep EQ begitu penting dalam membina matlamat kehidupan.

Sebelum mula menentukan matlamat dan prinsip hidup adalah penting untuk kita mengetahui tentang kecerdasan emosi kerana EQ memainkan peranan penting dalam elemen-elemen seperti perasaan, sistem nilai dan kepercayaan, meningkatkan keyakinan diri dalam proses membuat keputusan, membina matlamat hidup, memberi pendapat, membentuk personaliti dan pegangan hidup seseorang.

Konsep EQ akan membolehkan kita menyusun keutamaan mengikut konsep-konsep yang berkaitan seperti matlamat dan prinsip yang berlandaskan kecemerlangan, perhubungan interpersonal, kebolehan bersosial, kematangan psikologi dan kesedaran emosi. Kajian-kajian mendapati bahawa penekanan tentang unsur-unsur yang ada kena mengena dengan EQ akan membolehkan seseorang menyusun kehidupan berdasarkan matlamat dan prinsip yang dibina.

Kajian juga melihat bagaimana kaitan positif antara EQ dengan sifat kepimpinan, pencapaian secara kumpulan, pencapaian individu, perhubungan sosial, perubahan dalam pengurusan dan di samping menyediakan alat pengukur kepada kejayaan tersebut. Menurut Muhamad Jantan (2005) kecerdasan EQ adalah satu kebolehan yang dapat membantu mengharmonikan masyarakat dan meningkatkan nilai dan aset pada masa akan datang.


Kecerdasan emosi menjadi penting apabila kita cuba mencipta imej perasaan dalam perkataan pernyataan matlamat. Menulis matlamat dapat memurnikan dan menjelaskan pemikiran serta membantu menghuraikan keseluruhan kepada bahagian-bahagian yang lebih spesifik. Kita semua mempunyai pelbagai peranan dalam kehidupan kita. Setiap manusia mempunyai keupayaan atau bidang berlainan, di mana kita memegang tanggungjawab bagi memenuhi setiap peranan yang kita pegang. Misalnya, saya mungkin mempunyai peranan sebagai seorang individu, isteri, ibu, guru, ahli agama dan ahli masyarakat. Setiap peranan ini penting bagi saya menentukan keutamaan dalam membina matlamat dan prinsip hidup.

Satu masalah utama yang timbul bagi mengenal pasti matlamat adalah apabila manusia berusaha menjadi lebih berkesan dalam kehidupan mereka tanpa berfikir secara mendalam, mereka akan kehilangan rasa tanggungjawab, keseimbangan ekologi semula jadi yang perlu untuk mencapai hidup yang lebih harmonis. Mereka mungkin akan dibinasakan oleh keutamaan kerja dan mengabaikan kesihatan peribadi. Atas nama kejayaan professional mereka mungkin akan mengabaikan perhubungan yang paling bernilai dalam kehidupan mereka.


Kita mungkin mendapati bahawa pernyataan matlamat kita lebih seimbang, lebih mudah digunakan jika kita pecahkannya kepada matlamat yang lebih spesifik dalam kehidupan. Lihatlah peranan professional anda. Apa yang ingin anda lakukan dalam bidang itu? Apakah matlamat anda dalam bidang tersebut? Kemudian bayangkan peranan peribadi anda sebagai suami, isteri, ayah, ibu, jiran atau sahabat. Apakah yang ingin anda lakukan dalam peranan itu? Apakah yang penting kepada anda? Apakah matlamat anda dalam membina peribadi anda?

Begitu juga jika anda ingin membina sebuah bangunan yang besar. Sudah tentu anda telah mencipta plannya terlebih dahulu. Tidak mungkin seseorang itu berjaya membina sesebuah bangunan yang besar tanpa mecipta plannya terlebih dahulu. Menjalani kehidupan sama dengan melayari kapal di tengah lautan atau membina sesebuah bangunan. Jika anda tidak mempunyai perancangan atau matlamat yang tertentu, arah tuju kehidupan kita bukan sahaja tidak boleh berkembang, bahkan akan menghadapi kegagalan.

Oleh itu kesimpulannya, menentukan matlamat adalah penting untuk membantu merancang kehidupan dengan lebih baik dan teratur. Sama ada boleh mencapainya atau tidak, itu tidak penting. Apa yang penting ialah cuba menentukan matlamat dan cuba mencapainya, tidak kira berapa lama matlamat kita boleh tercapai.

Langkah utama untuk menentukan sesuatu matlamat ialah matlamat tersebut hendaklah ditulis pada sehelai kertas. Menulis matlamat pada sehelai kertas akan memberi atau perangsang kepada kita untuk mendapatkan idea-idea yang berkesan bagi mencapai matlamat. Apabila mula menulis matlamat pada kertas, daya pemikiran akan berfungsi membantu mencari idea-idea untuk mencapaikan matlamat. Dengan menulis matlamat pada kertas juga diibaratkan telah menanam semangat untuk mencapai matlamat dan kita telah berusaha dan mengambil tindakan untuk mencapainya.

Matlamat tersebut mestilah jelas dan manasabah boleh dicapai pada sesuatu masa tertentu. Tuliskan tarikh sebenar yang boleh mencapai matlamat tersebut. Sebagai seorang manusia, kita hanya merancang, yang menentukannya adalah Allah. Oleh itu jika tarikh untuk matlamat telah sampai dan matlamat tidak juga boleh dicapai, maka tidak perlu berputus asa. Apa yang perlu dilakukan ialah ubah tarikh lain pula. Mungkin boleh mengubahnya enam bulan akan datang atau setahun akan datang.

Walaupun ianya telah meminda kepada beberapa tarikh, kita tidak perlu lari dari matlamat. Jangan putus asa. Ibarat orang yang sedang belayar menuju ke sesuatu distinasi, lautan yang bergelora akan tempuhinya walaupun mengambil masa yang lama. Begitu juga di dalam menentukan matlamat. Apabila matlamat sudah ditentukan, hadapi segala rintangan walaupun mengambil masa yang lama. Senaraikan langkah demi langkah untuk mencapai matlamat. Kita perlu memikirkan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat.

Kita juga perlu menulis apakah halangan atau rintangan yang akan dihadapisemasa menjalankan langkah demi langkah untuk mencapai matlamat. Seperti seorang yang ingin belayar di tengah lautan yang luas, ia telah memikirkan apakah halangan atau rintangan yang akan dihadapinya semasa pelayarannya supaya ia dapat membuat persediaan terlebih dahulu.Begitu juga di dalam menentukan matlamat, kita perlu memikirkan apakah halangan atau rintang yang akan dihadapi. Oleh itu dengan memikirkan apakah halangan atau rintangan yang akan dihadapi, membolehkan kita membuat persedian terlebih dahulu. Maka dengan ini, kita tidak akan berputus asa apabila sesuatu halangan atau rintangan menimpa semasa mengikuti langkah-langkah untuk mencapai sesuatu matlamat.

Selepas menulis matlamat di kertas dan telah merancang langkah-langkah yang akan diambil, mulakan langkah dengan segera. Bertindak segera mengikut langkah-langkah yang telah dirancang. Kerana pepatah ada mengatakan, setiap perjalanan bermula dari langkah pertama. Begitu juga untuk menentukan matlamat, kita perlu memulakan langkah dengan bertindak segera untuk memulakannya. Jika tidak mengorak langkah segera, matlamat tidak akan tercapai.

Sebelum masuk tidur, lihat dan baca matlamat yang telah ditulis pada kertas. Dengan mengingati matlamat setiap malam, daya pemikiran kita sentiasa berfungsi untuk membantu mencapai matlamat. Dengan mengingati matlamat juga, membolehkan kita mengetahui kemajuan dalam mencapai matlamat setiap hari. Adakah kita semakin dekat pada matlamat atau semakin jauh daripada matlamat.
Sesungguhnya untuk membentuk “personaliti cemerlang” yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri, kita harus mengatur kehidupan dan perjalanan hidup kita dengan sebaik mungkin dan perancangan serta matlamat kehidupan yang dirancang secara spesifik akan membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih berkesan dan mencapai keseimbangan dalam hidup. Sesuatu yang perlu kita ketahui bahawa setiap perancangan matlamat bukan hanya untuk mencapai kecemerlangan sesebuah organisasi ataupun syarikat, Membina matlamat dan prinsip dalam kehidupan peribadi juga sangat penting untuk membantu perkembangan emosi dan rohani yang stabil dan harmonis.

Anda Berprinsip ?

Dalam kita menyusun keutamaan dalam hidup, cuba anda fikirkan satu kenyataan dan idea yang dibawa oleh Steven Covey (2005) dalam bukunya "First Thing First" menyatakan bahawa dengan memusatkan kehidupan kita pada prinsip yang betul, kita membina dasar yang kukuh bagi perkembangan keempat-empat penyokong hidup. Keselamatan kita berasal daripada pengetahuan bahawa tidak seperti kepusatan lain yang berdasarkan orang atau perkara yang tertakluk kepada perubahan yang kerap dan semerta, prinsip yang betul tidak berubah. Kita dapat meletakkan harapan kepadanya.

Prinsip tidak bertindak balas kepada apa-apa pun. Prinsip tidak marah dan melayani kita dengan cara lain.Prinsip tidak menceraikan kita atau melarikan diri dengan sahabat karib kita.Prinsip tidak berniat hendak melukakan hati kita.Prisip tidak melapik laluan kita dengan jalan pintas dan penyelesaian lintas. Prinsip tidak bergantung kepada tingkah laku orang lain,persekitaran,atau kegemaran semasa untuk pengesahan.Pada esoknya. Prinsip tidak berada di sini suatu hari dan menghilangkan pada esoknya. Prinsip tidak dimusnahkan oleh api,gempa bumi atau pencurian.

Prinsip adalah kebenaran mendalam dan asas,kebenaran klasik, pembawah rata generik. Prinsip adalah benang yang teranyam ketat yang timbul tenggelam secara tetap,konsisten, indah dan kuat dalam struktur hidup kita.

Sungguhpun kita berada di tengah –tengah orang atau keadaan yang kelihatan mengabaikan prinsip ini, kita tetap mengetahui bahawa prinsip adalah lebih kuat daripada orang atau keadaan , dan beribu-ribu tahun sejarah telah membuktikan prinsip ini berjaya , berkali- kali. Yang lebih penting, kita tetap mengetahui bahawa kita dapat mengesahkan prinsip dalam kehidupan kita, dengan pengalaman kita.

Tidak dinafikan, kita tahu segala-galanya. Pengetahuan dan pemahaman kita tentang prinsip yang betul adalah terhadap oleh kurangnya kesedaran tentang sifat sebenar kita dan dunia di sekeliling kita dan oleh banjiran falsafah dan teori semasa yang tidak selaras dengan prinsip yang betul. Idea ini mempunyai musim penerimaannya, tetapi, seperti banyak idea sebelumnya, idea ini tidak kekal kerana dibina pada dasar yang salah.

Kita terbatas, tetapi kita boleh menolak balik sempadan batasan kita. Pemahaman tentang prinsip pertumbuhan kita sendiri membolehkan kita mencari prinsip betul dengan keyakinan bahawa semakin banyak kita belajar, semakin jelas dapat kita fokuskan lensa yang kita gunakan untuk melihat dunia.Prinsip tidak berubah, pemahaman kita tentangnya yang sentiasa berubah. Melalui prinsip yang betul kita dapat membina matlamat yang jelas dalam kehidupan kita.

Menyusun keutamaan dalam hidup

Suatu perkara yang perlu dihayati dengan penghayatan yang sungguh-sungguh. Kita perlu membuat satu senarai keutamaan akan segala kegiatan kita. Senarai keutamaan ini mestilah dibina berdasarkan kepentingan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Ini bermakna segala aktiviti yang tidak berkaitan harus diletakkan pada keutamaan paling bawah kalau pun tidak digugurkan langsung. Misalnya, pada minggu itu ada perlawanan bola liga perdana di Stadium Sukan Likas atau siaran Akademi Fantasia yang amat kita minati. Tapi, jika kita lakukan maka terkorbanlah masa untuk memenuhi cita-cita kita itu. Di sini kita berdepan dengan suatu keperluan yang amat kritis. Kita perlu membuat pilihan, berbuat sesuatu untuk memenuhi matlamat atau menerima risiko menghadapi kegagalan dengan berbuat sesuatu yang tidak kena mengena dengan matlamat.

Bagaimanapun, yang lazim berlaku ialah, apabila orang ramai memenui cita-citanya dia selalunya menyalahkan unsur luaran. Amat kecil bilangan orang yang mengakui akan kelemahannya. Dalam hal memilih untuk pergi menonton perlawanan bola sepak liga perdana berbanding membaca dan membuat draf sebuah cerpen misalnya, siapa yang akan mengakui bahawa dia tidak menulis kerana dia gagal mengikuti jadual yang ditetapkan? Semua kita biasanya akan mencari alasan di luar diri kita. Untuk merasionalkan tindakan tersebut, alasan yang sering didengar ialah ‘SIBUK’. Akan tetapi soalnya, sibuk berbuat apa?


Sebagai orang Islam kita tahu bahawa dalam menjalani hidup, kita tergolong dalam orang yang rugi, kecuali kita berbuat kerja yang baik-baik dan kita bersabar (Surah al-Asr’), tapi berapa ramaikan di antara kita yang prihatin dan insaf akan hal itu? Bagi menentu dan menyusun keutamaan kita terlebih dahulu harus mengetahui apakah perkara keutamaan dalam kehidupan kita.

Setiap kita mempunyai pusat keutamaan, sungguhpun kadang kala kita tidak mengenalinya sebagai pusat keutamaan. Kita juga sebenarnya tidak menyedari tentang kesan menyeluruh pusat keutamaan itu terhadap segala aspek kehidupan kita.

Mari kita kaji tentang beberapa keutamaan yang telah ditulis oleh Steven Covey (2005) secara ringkas beberapa pusat keutamaan atau paradigma teras yang biasa dipunyai oleh setiap manusia dan untuk memahami bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita.

Kepusatan suami atau isteri
Perkahwinan boleh merupakan perhubungan manusia yang paling intim. Memang lazim dan patut seseorang memberikan keutamaan kepada suami atau isteri. Namun demikian, jika kita meletakkan keutamaan membina matlamat yang mana ianya terlalu dipengaruhi oleh suami ataupun isteri menyebabkan berlakunya pergantungan emosi yang kuat. Apabila tanggungjawab bertambah dan tekanan memasuki sesuatu perkahwinan. Konflik perkahwinan akan berlaku dan kesannya akan menyebabkan reaksi yang melampau, penarikan agresif, kemarahan dan akhirnya berlakunya perpecahan.

Kepusatan keluarga
Satu lagi keutamaan yang sering dilakukan ialah mengutamakan keluarga. Segala apa yang dilakukan adalah berfokuskan kepada menjaga maruah dan kebahagiaan keluarga. Kepusatan membina matlamat juga akan dipengaruhi oleh kebahagian dan kesejahteraan keluarga. Mereka yang berpusatkan keluarga merasakan keselamatan dan penghargaan peribadi daripada tradisi dan budaya keluarga. Mereka mudah merasa terganggu jika ada perubahan tradisi atau budaya atau ada pengaruh lain yang lebih kuat yang akan menjejaskan nama atau maruah keluarga.

Kepusatan kewangan
Satu lagi pusat yang logik dan amat biasa dalam kehidupan manusia adalah mencari wang. Seluruh kehidupan dan matlamat hidupnya adalah berpusatkan kewangan, mencari wang mengambil tempat pertama di dalam hidupnya. Keperluan yang lain tidak diutamakan sehingga keperluan kewangan itu dipenuhi, walaupun secara minima.

Kepusatan kerja
Orang yang berpusatkan kerja mungkin menjadi “workaholics” mendesak diri sendiri untuk menghasilkan yang terbaik hingga mengorbankan kesihatan, perhubungan dan bidang penting yang lain dalam kehidupan mereka. Identiti asas mereka berasaskan kepada bidang pekerjaaan mereka. Mereka mudah terganggu oleh sesuatu yang menghalang mereka dari terus berkerja. Kebijaksanaan mereka terhad kepada bidang kerja sahaja dan menyebabkan mereka kurang berkesan dalam bidang kehidupan yang lain.

Kepusatan benda dan pengiktirafan
Daya dorongan kebanyakkan orang lain adalah mengejar harta benda. Bukan sahaja barang maujud, barang kebendaan seperti baju berfesyen, rumah, kereta, barang kemas, tetapi juga harta benda tak ketara seperti kemegahan, keharuman nama, kemasyuran dan pengurniaan pangkat. Kebanyakkan orang menyedari bahawa banyak pengalaman negatif yang berlaku kerana dipengaruhi oleh harta benda. Kehidupan mereka akan sentiasa merasa terancam dan takut akan kehilangan harta benda dan hilang pengaruh dan kemasyuran nama.


Kepusatan kesukaan
Kepusatan kesukaan juga berkait rapat dengan harta benda. Segala matlamat mereka adalah untuk mencapai keseronokkan dan kepuasan dalam kehidupan.Tarikan gaya hidup berpusatkan kesukaan dan keseronokkan. Orang yang berpusatkan kesukaan dan keseronokkan mudah bosan dengan setiap peringkat keseronokkan yang berikutnya dan sentiasa mahukan yang lebih lagi. Dan kesukaan yang berikutnya mestilah lebih besar dan lebih baik, lebih mendebarkan dan diiringi dengan perasaan kepuasan yang lebih tinggi.

Kepusatan musuh/kawan
Segala tujuan dan matlamat hidup berfungsikan cermin sosial dan amat bergantung kepada pendapat orang lain, kriteria membuat keputusan juga mengambil kira apa pandangan mereka terhadap agenda yang anda buat. Orang yang berpusatkan kawan mudah tersinggung kerana mereka akan memandang dunia mereka melalui lensa sosial. Manakala mereka yang berpusatkan musuh pula bergantung kepada pergerakkan lawan, sentiasa berfikir tentang apa yang musuh mereka sedang buat sekarang, membuat keputusan berdasarkan apa yang mengganggu musuh, Kuasa negatif banyak mempengaruhi mereka.

Kepusatan agama
Mereka yang berpusatkan keagamaan akan sentiasa menjuruskan seluruh matlamat mereka ke arah ketuhanan. Lingkaran kehidupan mereka berdasarkan aktiviti keagamaan. Mereka akan berpandukan ajaran agama dalam menetapkan matlamat hidup. Namun begitu, jika mereka terlalu menumpukan kepada keagamaan sehingga tidak peka lagi kepada keperluan manusia yang mendesak di persekitaran mereka akan membawa mereka ke arah percanggahan pendapat dan ideologi yang melanggar hakikat keagamaan mereka sendiri.
Maka dengan itu, cuba anda melihat diri anda, dimanakah keutamaan yang selama ini anda letakkan dan percaya ataupun tidak bahawa keutamaan yang anda letakkan tersebut sebenarnya banyak mempengrauhi gaya hidup prinsip anda selama ini. Renung-renungkan lah...

Melihat Potensi Melalui Keazaman Tinggi

Mari kita renungi sejenak akan perjalanan hidup kita. Tanyai diri kita “ Aku jadi begini secara dirancang atau secara kebetulan? Maksudnya, jika kita merancang, maka segala pencapaian kita itu kita usahakan mengikut rancangan. Sebaliknya jika secara kebetulan, maka pencapaian kita itu terlaksana mengikut arus aliran hidup yang tidak direncanakan dan dirancangkan.


Daripada pemerhatian ahli psikologi, Ainon Mohd & Abdullah Hassan (2002) menerangkan secara umum orang tidak merancang hidupnya. Sebaliknya, kehidupan diandaikan sebagai satu perjalanan menghiliri sungai menuju kuala tanpa perancangan yang pasti akan pangkalan dan pelabuhan yang akan disinggahi. Tegasnya, kita menjalani hidup secara ikut-ikutan; orang bersekolah kita pun bersekolah, kemudian apabila sampai umur yang wajar, kita berkahwin seperti orang lain juga, masing-masingnya akhirnya sampai ke tahap masing-masing, tanpa adanya satu perancangan yang pasti, kita menggantungkan kejayaan dan percapaian kepada nasib. Kita membina kesimpulan bahawa orang beruntung dapat sampai ke menara gading sementara orang malang ada banyak alasan dan kriteria malang, mungkin kerana kemiskinan, kerana kebodohan dan seumpamanya, tidaklah begitu baik nasibnya.


Menurut Muhamad Jantan (2005) Di samping tidak adanya perancangan, kita selalunya tidak serius melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab. Misalnya, dalam keadaan tidak berancangan itu kita masuk ke dalam kumpulan ahli peniagaan dan mahu menjadi peniaga berjaya. Akan tetapi, cuba tanyai diri kita. Apakah aku sesungguhnya melaksanakan tugas sebagai ahli peniagaan itu? Berapa banyak masa yang kuperuntukkan untuk aku berniaga? Atau katakanlah kita seorang guru, Apakah aku melaksanakan tugasku sebagai guru dengan penuh tanggungjawab? Lazimnya, daripada pemerhatian para ahli psikologi, kita terlalu rencam dalam hidup, tidak tetap untuk sesuatu hingga menjadi seperti satu peribahasa Inggeris “A jack of all trades is a master of none.”

Apa yang jelas daripada huraian ini ialah bahawa, kita jarang sekali merancang untuk melaksanakan sesuatu. Akhirnya kita berbuat segala amalan kita tanpa tujuan dan matlamat yang konkrit. Padahal, kita yang mendukungi budaya Islam diajar bahawa “amal tanpa niat, batal”. Mari kita seterusnya bincangkan tentang apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan ini.


Semua amalan kita dimulai dengan niat. Solat, puasa, mandi dan semuanya dimulai dengan niat yang diikuti oleh amal atau perbuatan. Malah, dalam perundangan moden, orang yang membunuh tanpa niat lebih ringan hukumannya yang diistilahkan sebagai manslaughter (pembunuhan tanpa niat) dan bukan murder (pembunuhan). Semasa melakukan sebarang amal atau perbuatan, ada pula aturan, tatacara dan tatatertib yang ditentukan yang berkaitan dengan sesuatu amalan itu. Semua amal yang berbentuk ritual dan keagamaan (Islam), begitu. Lalu bagaimana dengan kerjaya kita? Adakah kita berniat dan membina tatakerja dan aturan yang pasti untuk melakukan kerja tersebut?


Menurut pemerhatian para ahli psikologi, hal ini jarang berlaku. Kerja sebagai guru misalnya, diceburi secara kebetulan atau kerana terpaksa. Maka itu mari sekali lagi kita tanyai diri kita. Adakah aku berniat untuk menjadi guru? Jika ada, bagaimanakah bentuk niat itu?


Saya tidak berani bertaruh untuk mengatakan yang anda tidak melakukannya kerana mungkin juga ada yang mengatakan ‘ya’. Mungkin ada orang yang membina azam dan tekad untuk menjadi guru. Namun, secara umum dapat dikatakan, terlalu sedikit bilangan kita yang memformalkan niat kita dalam urusan seumpama ini. Yang lazim ada ialah cita-cita atau lebih tepat pada fikrian saya, angan-angan, kadang-kadang, angan-angan itu hanyalah angan-angan kosong yang tidak diisi, seperti Mat Jenin. Kita berangan-angan untuk menjadi guru. Kemudian, angan-angan itu meluas tanpa pedoman atau tatacara yang khusus. Misalnya, Aku hendak menjadi guru. Maka itu, apabila kita sudah guru, minda kita sudah berpuas hati kerana pada hakikatnya, niat kita sudah terpenuh. Jika pun ada di antara kita yang berniat atau berazam, biasanya niat atau azam itu tidak jelas, tidak ada matlamat dan perincian perancangan pelaksanaannya seperti niat solat misalnya, yang bukan sahaja jelas tetapi lengkap dengan tatacara dan tatertibnya. Soalnya: bagaimanakah membina matlamat juang yang pasti itu?


Dalam buku-buku motivasi banyak dicontohkan matlamat yang pasti ini. Biasanya, diwujudkan dahulu satu pernyataan matlamat yang padanya dijelaskan secara terperinci akan sasarannya. Misalnya: aku hendak menjadi penulis penerima anugerah 10 tahun akan datang. Atau: aku hendak menjadi penulis yang mendapat pendapatan RM20 ribu setahun, atau aku hendak menulis dua buah novel setiap tahun, dan lain-lain lagi.


Setelah membina satu matlamat yang jelas begitu, kita perlu pula mempunyai iltizam yang kuat untuk menjayakannya. Biasanya tanpa iltizam, amal atau perbuatan tidak akan sempurna. Sementara itu, iltizam hanya dapat diperkukuh dengan azam dan matlamat juang yang jitu. Seterusnya, apabila kita mempunyai matlamat yang hendak dituju, yang didukung oleh iltizam yang padu, maka langkah selanjutnya ialah mencari jalan bagaimana dapat sampai kepada matlamat tersebut. Matlamat dan disandar pula dengan keazaman sebenarnya akan memperlihatkan keupayaan diri membina satu kekuatan dalaman yang meransang potensi diri seseorang indivisu itu menjadi cemerlang. gemilang dan terbilang. Insyalallah....

Bagaimana Membina Matlamat ?

Setiap insan impikan masa depan yang penuh kejayaan, kemakmuran dan kesempurnaan. Segalanya yang kita impikan boleh digambarkan di dalam fikiran. Penuh dengan kegembiraan dan kecemerlangan. Steven R Covey (2005) menyatakan penetapan matlamat di dalam kehidupan amat penting kerana ianya akan menjadi pendorong kepada mendapat apa sahaja yang diimpikan. Mempunyai matlamat secara tidak langsung akan membina sikap yang positif dan memberi kekuatan untuk mencapainya. Contohnya, sebelum memulakan perjalanan, anda menentukan destinasi anda dan merancang jalan yang paling sesuai, Sebelum anda membina rumah idaman anda, anda merancang dalam minda anda tentang gambaran rumah, bilangan dan kedudukkan bilik, rekaan dalaman dan sebagainya sebelum ianya dilakarkan di atas kertas dan diberikan kepada pereka plan dan arkitek.

Setiap matlamat mesti mempunyai titik permulaan dan pencapaiannya di mana kejayaan adalah ukurannya. Mulakan dengan membina matlamat berdasarkan prinsip bahawa semua benda dicipta dua kali, mula-mula adalah ciptaan mental kemudian ciptaan fizikal. Ciptaan mental bermaksud gambaran awal yang digambarkan melalui imej di dalam minda dan ciptaan fizikal adalah hasil imej di dalam minda yang diterjemahkan melalui lakaran, membina dan akhirnya membentuk struktur fizikal yang dapat menjelaskan imej yang anda gambarkan di dalam minda. Bagaimana anda boleh membina keyakinan diri dengan matlamat anda?

Tetapkan masa
Tentukan jangka masa untuk mencapai matlamat. Mungkin dua jam, satu minggu atau satu tahun. Rancangkanlah penggunaan masa supaya tidak terpesong daripada matlamat oleh sifat suka bertangguh, hilang tujuan, kekuatan was-was dan kerisauan.

Mengetahui kekuatan diri
Kita mesti mengetahui kekuatan diri dari segi pengetahuan, kemampuan, kemahiran dan sumber-sumber lain. Apabila dapat mengenal pasti kekuatan diri, kita akan lebih berkeyakinan merancang tindakan yang akan diambil. Perlunya kita mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengubah diri dari dalam dan bersiap sedia menjauhi atau mengatasi halangan yang menanti.



Mengenalpasti kelemahan diri
Mengetahui kelemahan diri bukannya mencari alasan tidak melakukan sesuatu tetapi untuk mengenal pasti cara mengatasinya. Kebanyakan orang mewujudkan keterbatasan dan kelemahan diri sebagai alasan. Selalulah bandingkan diri anda dengan orang lain. Sekiranya anda mempunyai kelebihan itu adalah satu kurniaan dan jika ada kelemahan, cuba atasinya. Jadilah orang yang cemburu dengan kejayaan orang lain tanpa menjatuhkannya tetapi baikilah diri untuk menjadi sepertinya. Ramai antara kita mempunyai matlamat tanpa memikirkan sama ada ianya sesuai atau tidak dengan kemampuan untuk mencapainya. Adakah matlamat itu akan menjadi suatu impian atau angan-angan semata-mata.

Ciri-ciri suatu matlamat mestilah mempunyai kriteria berikut :

Jelas
Matlamat anda haruslah jelas, terang dan nyata. Bukannya kabur. Contohnya sebagai ibu bapa, Jika anda mahu memelihara anak yang bertanggungjawab dan berdisiplin-kendiri, anda perlu mengingat matlamat itu ketika berinteraksi dengan anak-anak anda setiap hari. Anda tidak boleh bertindak kepada mereka dengan melemahkan disiplin-kendiri atau penghargaan-kendiri.

Mencabar
Bila anda menetapkan matlamat, biarlah ianya mencabar keupayaan anda iaitu sukar untuk dicapai tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Bila ianya mencabar keupayaan anda, anda akan menjadi lebih kreatif, lebih bersemangat, lebih berusaha dan lebih kuat dorongan untuk mencapainya.

Boleh diukur
Matlamat anda harus boleh diukur apabila telah tiba jangka masa yang ditetapkan. Contohnya, bila mendapat pengiktirafan dan berjaya mencapai sebagaimana matlamat anda? Ketika inilah anda boleh menilai keupayaan anda yang sebenarnya.Untuk menjadi seorang yang benar-benar berjaya, anda mestilah membina satu sikap keyakinan diri yang tinggi pada diri dan kemampuan anda. Anda perlu merancang kerana perancangan yang teratur dapat mengurangkan sikap yang suka menangguhkan sesuatu tindakan. Anda perlu mengenali diri anda dan menyayangi diri. Tetapkan matlamat anda dan bersedialah untuk mengambil langkah-langkah seturusnya ke arah pencapaian kejayaan dan masa depan yang lebih gemilang. Ingatlah kata pujangga, "Orang bijaksana adalah orang yang mampu mengenal keupayaan dirinya".

Sunday, May 6, 2007

Membina Matlamat Dalam Hidup

Matlamat atau dengan kata lain sering diungkapkan dan digandingkan adalah seperti objektif, arah tuju, visi dan misi. Sungguhpun matlamat dapat digunakan dalam pelbagai peringkat kehidupan, penggunaan paling asas dalam membentuk keperibadian cemerlang adalah bermula dengan mengingat matlamat. Ianya bermula dengan imej, gambaran, atau paradigma anda sebagai rangka rujukan atau kriteria utama untuk mengkaji setiap bahagian kehidupan, tingkah laku hari ini, esok, minggu hadapan, bulan hadapan dan seterusnya boleh dilihat dan dikaji dalam konteks keseluruhan yang mana ianya merupakan perkara yang sangat bernilai dalam kehidupan. Bermula dengan mengingat matlamat bermakna bermula dengan memahami dengan jelas ke mana arah tuju dan destinasi kita.


Menurut Steven Covey (2005), Kita sering terperangkap di dalam kehidupan kita yang penuh dengan pelbagai aktiviti rutin mengejar dan memanjat anak tangga kejayaan demi kejayaan namun sebenarnya kita dapati bahawa kita sedang menyandarkan anak tangga pada tempat yang salah. Kita sering mendapati bahawa kita sedang mencapai kemenangan kosong, yang mana kejayaan yang kita perolehi telah mengorbankan banyak benda yang lebih berharga dalam kehidupan kita. Kebanyakkan daripada golongan professional seperti doktor, arkitek, ahli akademik, ahli politik dan ahli peniagaan sering berjuang untuk mencapai pendapatan yang lebih besar, pengiktirafan yang banyak, atau tahap tertentu dalam bidang profesionalnya, namun akhirnya mereka dapati keinginan mencapai matlamat yang membabi buta telah membutakan mata mereka terhadap perkara yang jauh lebih bernilai dalam hidup mereka.


Betapa berbezanya kehidupan kita jika kita benar-benar tahu apakah perkara yang lebih penting dalam kehidupan kita. Dengan membayangkan gambaran sebenar matlamat itu dalam minda kita, kita akan lebih prihatin dalam mengatur dan mengurus kehidupan sendiri mengikut kepentingan dan matlamat yang telah kita aturkan. Jika salah menyandar anak tangga, setiap langkah yang kita ambil akan mempercepatkan langkah kita ke tempat yang salah. Kita mungkin sangat sibuk,, kita mungkin sangat cekap, kita mungkin sangat berkesan hanya apabila kita mula memikirkan dengan mengingat matlamat sebenar kita.


Menurut Muhamad Jantan (2005) Setiap manusia perlu mempunyai matlamat di dalam kehidupan mereka, mereka yang tiada matlamat umpama tiada arah tujuan dan akan mengikut rentak dunia dan mudah dipengaruhi oleh mainan dan syurga duniawi. Salah meletakkan matlamat juga akan mengorbankan banyak benda yang lebih berharga dalam kehidupan kita. Membina matlamat bukanlah semudah ABC, kita perlu berhati-hati memikirkan apa yang kita mahu dalam kehidupan kita dan kejayaan bagi setiap manusia itu mempunyai definasi yang berbeza. Mungkin kemasyuran, pencapaian, pengiktirafan, kewangan dan beberapa perkara lain yang kita berusaha mencapainya itu bukan sebahagian tempat yang betul untuk mencapai kebahagian yang sebenarnya.


Untuk menyusun dan membina matlamat yang betul, kita harus bermula dengan mengingati matlamat yang akan kita perolehi hasil daripadanya. Mungkin satu hari apabila kita meninggal dunia, orang akan memperkatakan “ berapa banyak wang yang dia tinggalkan?” dan jawapan daripada persoalan tersebut ialah “ Dia telah tinggalkan semua wangnya.”

Pendidikan Sepanjang Hayat

Konsep Pendidikan Sepanjang Hayat adalah konsep yang sememangnya wujud dalam budaya pribumi. Agama Islam sendiri menggalakkan setiap umatnya menuntut ilmu sepanjang hayat. Semua agama dan budaya di dunia menggalakkan pendidikan sepanjang hayat. Meskipun konsep ini mendapat galakan dalam budaya, sehingga sekarang ini, tidak ada usaha sistematik dan berterusan serta berkesan menggubal dasar, menwujudkan institusi, menawarkan program berkaitan pendidikan sepanjang hayat kepada warga Negara Malaysia.

Terdapat dua konsep kembar Pendidikan Sepanjang Hayat. Pertama ialah pendidikan itu adalah proses sepanjang usia dari lahir hinggalah ke liang lahat. Kedua adalah pendidikan itu adalah proses seluas hidup, merentasi kehidupan dan merangkumi konteks pendidikan formal, tak formal dan informal.Pendidikan berterusan sebagai sebahagian sentuhan konsep pendidikan sepanjang hayat bermaksud peluang untuk mendapat dan meneruskan pendidikan setiap penduduk tanpa mengira tahap umur. Dengan lain perkataan, setiap individu tanpa mengira batas usia masih disediakan peluang yang sewajarnya untuk menyambung pendidikan khususnya selepas tamat mengikuti pendidikan wajib selama sembilan atau 11 tahun seperti apa yang terkandung dalam sistem pendidikan sekarang.

Dalam ledakan teknologi maklumat dan pendidikan tanpa sempadan membolehkan semua maklumat diperolehi hanya dihujung jari sahaja. Sumber maklumat dan ilmu pengetahuan mengalir seperti air yang melimpah ruah. Desakan meningkatkan ilmu pengetahuan dikalangan guru amat diperlukan bagi membolehkan guru mengejar arus pendidikan bertaraf dunia dan tidak ketinggalan jauh ke belakang.
Dalam perkembangan yang berkaitan, adalah didapati bahawa dari segi pendekatan dan pelaksanaan meningkatkan tahap professional guru pendemokrasian dari sudut peluang untuk pendidikan berterusan pada masa kini adalah semakin baik malah jauh lebih baik berbanding perkembangannya sedekad yang lalu. Contohnya, hari ini pendidikan jarak jauh semakin diperluaskan dan menjadi sesuatu yang agak lumrah. Hari ini sudah kedengaran pendidikan jarak jauh untuk peringkat ijazah sarjana. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat pada masa kini adalah diharapkan pendidikan jarak jauh yang mempunyai ciri istimewa dari segi kelonggaran masa dapat dijadikan wadah dalam menyediakan peluang untuk pendidikan berterusan khususnya bagi kalangan guru yang sudah bekerja tetapi masih berminat dan berkemampuan untuk meneruskan pelajaran demi untuk meningkatkan taraf profesionalisme mereka.

Tuntutan sosial kepada kaum guru bagi mencapai satu tahap kualiti perkhidmatan yang cemerlang hendaklah dilihat secara positif. Seluruh warga pendidikan harus bersedia menyahut cabaran ke arah pendidikan sepanjang hayat. Keperluan ilmu yang mendesak memaksa semua guru memainkan peranan aktif dalam meningkatkan lagi kualiti pendidikan melalui latihan berterusan, budaya meneroka ilmu, menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran serta sikap proaktf dalam menyahut seruan kerajaan agar ilmu itu dikongsikan kepada semua masyarakat tanpa mengira umur dan taraf pendidikan.

Untuk menjayakan pendidikan sepanjang hayat, semua guru perlu mengembleng tenaga membina budaya Pendidikan Sepanjang Hayat. Budaya ini dapat dibina melalui pelbagai peluang pembelajaran melalui program dan kursus yang ditawarkan seperti menggunakan teknologi maklumat dan internet sebagai satu opysen yang membuka peluang yang luas tidak kira latar belakang sosio ekonomi dan jantina. Pembelajaran boleh dilakukan di rumah, di tempat kerja, program latihan khas, pembelajaran just in time dan pembelajaran di sekolah. Semua ini menjadikan suatu kelaziman dalam menwujudkan budaya Pendidikan Sepanjang Hayat.

Adakah Guru Profesional ?

Kita sering mendengar, melihat dan membaca pelbagai isu yang berkaitan dengan pemantapan profesion keguruan di negara kita yang sedang mengalami satu zaman reformasi yang begitu pesat selaras dengan era globalisasi. Apabila kita menyatakan isu pendidikan bertaraf dunia, maka kita tidak dapat lari dari memperkatakan tentang pendidikan berkualiti. Pendidikan berkualiti di semua peringkat pendidikan adalah merupakan antara ciri utama yang akan menentukan taraf profesionalisme keguruan itu sendiri.

Dalam konteks memantapkan profesion perguruan ini, Antara usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian ialah berusaha menyediakan guru terlatih yang mencukupi, adalah menjadi hasrat kementerian untuk mewujudkan 100% guru siswazah di semua sekolah menengah menjelang tahun 2000 dan 80% di sekolah rendah menjelang 2008, langkah ke arah tersebut sedang dan sudah dilaksanakan.

Menaikkan taraf Maktab Perguruan kepada Institusi Perguruan dengan menyediakan latihan peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. memantapkan aspek pemilihan bakal guru dan latihan guru, memantapkan karier keguruan, memperbaiki persekitaran kerja guru dan meningkatkan keyakinan dan rasa bangga para guru terhadap profesion keguruan.
Selain daripada itu ialah usaha menyediakan peluang melanjutkan pelajaran yang lebih kondusif di kalangan guru-guru yang sedang berkhidmat dengan menggadakan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah melalui pendidikan jarak jauh, program berkembar dengan Universiti, Program Khas Pensiswazahan dan sebagainya. Ini adalah bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme guru di Malaysia.

Bagi mempersiapkan generasi pelajar hari ini menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, ini amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara.

Namun demikian usaha ini tidak mungkin akan tercapai jika halangan-halangan memantapkan profesion guru sering dipandang remeh oleh masyarakat. Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti guru di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan guru dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara.

Fenomena lain yang sering menjadi halangan ke arah memantapkan profesion guru ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati burn out dikalangan guru ada kaitan sebab-akibat yang menjadi penghalang meningkatkan martabat guru dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti kerja-kerja pengkeranian, pertindihan tugas, kerja-kerja rentetan, kekaburan tugas dan sebagainya.

Sebagai golongan profesional, guru bukan sahaja perlu berilmu pengetahuan dan terlatih malah perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Usaha kerajaan meningkatkan penggunaan IT di kalangan guru merupakan satu tindakan ke arah anjakan paradigma guru. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan profesionalisme mereka bukannya sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka.
Oleh itu, usaha menyediakan diri ke arah peningkatan profesionalisme perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang guru itu mampu mengangkat martabat diri mereka ke tahap yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi Kualiti Pendidikan hari ini.

Pedoman seorang Guru

Rasullullah saw pernah bersabda, ‘ Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penggembala tentang gembalaannya, apakah ia menjaga ataupun mensia-siakannya.’ Dari ayat di atas sudah jelas menunjukkan tentang tanggungjawab dan amanah Allah terhadap para pendidik memang besar dan setiap satunya akan dihitung di akhirat kelak. Membicarakan tentang tanggungjawab pendidik memang tidak akan habis-habis selagi kita sedari bahawa perlunya perubahan dan anjakan paradigma minda pendidik-pendidik kita ke satu matlamat murni baik berkaitan dengan iman, moral, mental, fizikal, spiritual ataupun sosial.

Sememang tidak dapat tidak, para pendidik harus sedar mereka mempunyai peranan besar dalam lapangan pendidikan bagi membentuk perkembangan anak bangsa. Sebagaimana besarnya tanggungjawab petani menyemai, membaja dan menyiram tanamannya dan mampu tersenyum puas dengan kerindangan hasilnya, begitu juga para pendidik akan berasa gembira sebening mata ketika melihat anak-anak bangsanya berjalan melata di atas bumi bagaikan malaikat-malaikat yang terpancar roh ketinggian peribadi dan keunggulan minda. Namun begitu menyedihkan jiwa seorang pendidik merintis, menanggis pilu, apabila melihat kelibat anak bangsanya yang melintas seolah-olah mayat hidup yang berjalan tanpa arah, tingkahlaku bagai bukan manusia, tutur bicara dan adab sopan terkubur entah di mana. Inikah penghuni dunia yang kita inginkan sebagai warisan akan datang?

Kesan dan implikasi pendidikan amat besar pengaruhnya kepada bangsa, agama dan Negara. Sama ada para pendidik sedar ataupun tidak peneraju dunia akan datang lahirnya dari sumbangan pendidik menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin semata-mata untuk melihat satu kesinambungan bangsa yang lebih berjaya, berdaya maju dan berkembang dari semua aspek kehidupan berlandaskan jalan yang benar-benar sempurna. Memang tidak diragukan bahawa ada pendidik yang sedar, namun apakah cukup bagi seorang pendidik hanya menunaikan tanggungjawab dan kewajipan mengajar semata-mata dan kemudian bersantai dengan pendapatan sebagai seorang buruh yang menerima upahnya setelah penat berkerja. Ataupun sudah bersedia dengan senjata-senjata melalui kaedah-kaedah pengajaran yang lebih efektif dalam mencari kesempurnaan diri sebagai pendidik sejati.

Sistem pendidikan kita telah mengorak langkah jauh dalam membangunkan prasarana, teknologi dan kaedah yang pelbagai bagi meransang dan mengembangkan kreativiti pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun demikian, kecanggihan teknologi dan infrastruktur semata-mata tidak mencukupi jika kesedaran para pendidik tentang peranan mereka terlalu tipis. Satu-satunya asas yang perlu diketahui dan disedari oleh para pendidik adalah pengaruh sahsiah, tingkahlaku dan perawakan pendidik merupakan kesan paling tinggi mempengaruhi perkembangan pelajar. Pendidik sebagai ’role model’ adalah kaedah paling berkesan dan sangat diyakini dalam mempersiapkan anak didik mereka dengan pembentukan moral, spiritual dan sosial. Ini adalah kerana pendidik adalah contoh terbaik pada pandangan pelajar yang akan ditiru dalam setiap tindak tanduknya, sopan santunnya, sama ada disedari ataupun tidak, bahkan telah terpahat dalam jiwa dan perasaan anak didik tentang perilaku pendidik tersebut. Baik dari segi perbuatan, ucapan, sama ada material atau spiritual.

Pendidik sebagai ’role model’ sebenarnya menjadi faktor utama dalam menentukan baik buruknya anak didik mereka. Jika pendidik jujur, boleh dipercayai, berakhlak mulia, berani menentang kemungkaran, maka jiwa anak didiknya akan tumbuh kejujuran, tertanam kemuliaan pekerti dan menentang kejahatan. Dan jika pendidik bercakap bohong, khianat, durhaka dan mempamerkan akhlak yang bertentangan, maka anak didiknya akan menjadi pembohong, pengkhianat dan hina.

Anak didik, bagaimana kuat usaha yang dilakukan untuk membawa mereka ke arah kebaikan, bagaimana sucinya fitrah mereka, ia tidak mampu memenuhi prinsip-prinsip kebaikan yang para pendidik tanamkan selagi mereka tidak melihat pendidik itu sendiri menerajui tauladan nilai-nilai moral yang tinggi. Memang sekali pandang nampak mudah bagi para pendidik mengajar anak didiknya dengan pelbagai kaedah pendidikan, namun pada hakikatnya sukar bagi mereka untuk melaksananya ketika melihat orang yang membimbing mereka, yang memberi arahan kepada mereka tidak mengamalkannya dan tidak menerapkan prinsip-prinsip yang diajar dalam diri mereka dahulu sebagai seorang pendidik.

Berpandukan semua ini, pernah seorang penyair melontarkan kecaman yang pedas terhadap para pendidik yang tindak tanduknya bertentangan dengan apa yang diajar kepada anak didiknya, antara bait-bait syair tersebut adalah :
Wahai orang yang mengajar orang lain
Kenapa engkau tidak juga mengajar dirimu sendiri
Engkau terangkan mereka dengan bermacam ubat
Bagi menyembuhkan mereka dari penyakit
Sedangkan engkau sendiri ditimpa penyakit
Ubatilah dirimu dahulu
Lalu cegahlah agar tidak menular kepada orang lain
Dengan demikian engkau adalah orang yang bijaksana
Maka apa yang ajarkan akan mereka terima
Dan ikuti.
Ilmu yang engkau turunkan
Akan memberi manfaat bagi mereka.

Dalam menutup tirai bicara kali ini, renungilah kecaman Al-Quran kepada orang yang perilakunya tidak seperti apa yang diucapkan :

’ Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu perbuat ? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan’ (Q.S 61: 2-3)

’ Mengapa kamu suruh orang lain mengerjakan kebajikan/kebaktian, sedang kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al kitab? Maka tidakkah kamu berfikir? ’ (Q.S. 2:44)

Saturday, May 5, 2007

Niat Menjadi Guru

Niat Menjadi Guru

Guru mahupun digelar sebagai pendidik memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan. Sedar ataupun tidak tanggungjawab guru bukan boleh dibuat main-main atau melepaskan batuk di tangga. Pengaruh guru sangat besar terutamanya dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa, Jatuhnya guru maka jatuhlah bangsa. Guru perlu ingat bahawa masa depan negara kita sebenarnya terletak bukan sahaja ditangan pemerintah yang ada sekarang tetapi di tangan anda. Cemerlangnya anak, maka cemerlanglah negara, Buruknya anak didik maka cemarlah negara.
Sama ada sedar atau tidak, sebahagian daripada masalah akhlak remaja sebenarnya perlu dipertanggungjawabkan juga oleh guru. Mungkin ada yang tidak setuju, namun pada hakikatnya guru perlu menerimanya walaupun pahit. Kenapa saya berkata sedemikian, sedangkan saya juga seorang guru. Pengalaman selama 14 tahun telah mengajar saya erti tanggungjawab dan amanah yang saya pikul sekarang.
Rata-rata guru sekarang sibuk dengan tuntutan gaji, kebajikan, mengeluh dengan bebanan kerja dan menyalahkan pihak A, B dan C jika berlakunya krisis atau konflik di sekolah. Tidak kira sama ada konflik antara guru dan guru, guru dan murid, guru dan ibubapa dan guru dengan masyarakat. Di akhbar, majalah dan media masa pula memaparkan pelbagai isu yang tidak sedap didengar. Sebelum kita menyalahkan pelbagai pihak dan mengambil sikap lepas tangan terutamanya jika melibatkan sahsiah dan akhlak remaja. Cuba-cuba renungkan kesahsihan bicara saya.
Niat memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Dalam Islam juga sangat menitik beratkan niat dalam setiap kerangka perjalanan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Cuba anda tanya pada diri sendiri, Niat menjadi seorang guru untuk apa ? Banyak jawapan yang saya terima iaitu, jadi guru terjamin, guru sekarang gaji mahal, pilihan terakhir saya ialah guru kerana minta kerja lain tak dapat ataupun ada yang berkata guru banyak cuti, kerja senang, separuh hari dah balik, petang dan malam boleh buat tuisyen. Maka itulah padahnya apabila kita bersandarkan niat materialistik semata-mata. Jiwa sebagai guru, pendidik dan pembimbing lenyap dik arus mengejar harta benda. Tanggungjawab mendidik hanya melepaskan batuk di tangga, yang penting masuk kelas mengajar, habis kelas balik, masuk lewat keluar awal, tak masuk kelas jangan cerita, senyap-senyap sebab pengetua dan guru besar tidak nampak, ada juga yang masuk kelas tidak mengajar, bulan-bulan dapat gaji.
Namun guru harus tahu satu perkara, Niat keikhlasan kita mengajar sebenarnya dapat dibaca oleh pelajar-pelajar kita. Niat sebenarnya akan terpancar melalui tuturkata dan tingkahlaku anda. Sikap dan perlakuan guru sewaktu mengajar boleh dibaca oleh anak didik kita. Jika pelajar membenci dan tidak menyukai maka tindakbalas mereka terhadap pengajaran guru adalah negatif. Oleh itu, cuba ubah niat. Guru yang mengajar kerana Lillahitaallah terpancar cahaya seorang pendita, rohnya meresap ke dalam sanubari anak didiknya dan mengalir di setiap aliran darahnya, menikam emosi dan rohani mereka hinggakan anak didiknya pasti mendapat jaminan Allah terkawal akhlak mereka. Malah bukan itu sahaja, keikhlasan seorang guru mendidik anak bangsanya mendapat kenikmatan dan kepuasan yang tidak terhingga kerana keredhaan Allah dan dijanjikan pahala setiap langkah kakinya menuju ke kelas semata-mata menunaikan janjinya sebagai khalifah di muka bumi ini. InsyakAllah...