Wednesday, August 29, 2007

Mengenal Intuisi (suara hati) anugerah Allah (Fasa 1)

Bayangkan jika anda benar-benar dapat menjalinkan hubungan dengan suatu kuasa yang lebih tinggi (Allah) dan mendapat bimbingan daripadanya untuk membuat keputusan yang betul dalam kehidupan, membimbing anda mencapai kejayaan dan kepuasan dalam hidup.

Semua orang berhak untuk mengecapi kejayaan, kebahagian dan kepuasan. Kita dilahirkan di dunia ini dengan mewarisi suatu amanah penting dan diberi sumber-sumber yang akan membantu kita untuk melaksanakan amanah itu dengan jayanya. tetapi, mengapa ramai yang gagal?

Kegagalan itu berpunca daripada keupayaan kita untuk menyedari potensi dan anugerah yang ada pada diri sendiri serta tidak memanfaatkannya pada jalan yang betul. Sebenarnya Allah telah menyediakan bantuan untuk mereka yang mahu mengenali diri mereka dan bergerak mengikut landasan yang telah disediakan. Kenapa ianya terjadi sedemikian ?

Pertama, kebanyakan daripada kita melakukan sesuatu mengikut apa yang mereka fikirkan "sepatutnya" mereka buat dan bukan apa yang telah diamanahkan kepada mereka.

Kedua, mereka cuba melaksanakan amanah itu dengan bergantung kepada "keupayaan sendiri yang sememangnya terbatas" dan bukannya mendapatkan bimbingan daripada Allah. Sebab itulah mereka tidak dapat menikmati kepuasan daripada sesuatu kejayaan.

Ketiga, sekalipun mereka mencapai kejayaan yang dicita-citakan, mereka masih tertanya-tanya apakah usaha mereka itu membuahkan hasil yang bermanfaat? Apakah segala kemewahan yang diperolehi berbaloi dengan pengorbanan yang telah dilakukan? mereka sering kecewa, keliru, dihimpit tekanan emosi dan sentiasa tidak menemui kepuasan dalam hidup.

Ramai yang bertanya-tanya, mungkinkah kita akan mendapat bantuan daripada kuasa yang lebih tinggi iaitu Allah yang akan membimbing dan menunjukkan jalan kejayaan dalam kehidupan? Banyak daripada kita akan mendabik dada dengan menyatakan bahawa "kejayaan aku hari ini adalah kerana usaha aku sendiri, jika aku tidak berusaha aku tidak akan berada ke tahap ini." Mereka tidak sedar bahawa sejarah telah membuktikan bahawa tanpa bimbingan daripada Allah kejayaan yang mereka war-warkan itu sebenarnya menjurus mereka kepada kegagalan hakiki. Kuasa minda yang mereka perolehi hanya terbatas tanpa bimbingan Allah.

Saya telah menemui kuasa paling besar di dunia ini iaitu kuasa doa. Mukjizat yang paling tinggi yang dianugerahkan kepada kita adalah doa. malah Allah pernah menyebut dalam al-Quran supaya kita berdoa yang bermaksud : "berdoalah dan nescaya akan aku makbulkan doa hambaku ini'.

Jarang hambanya menyedari tentang pemberian Allah yang paling berkuasa ini. Hanya mereka yang benar-benar sedar akan kuasa doa itu akan menilainya dengan mengucapkan ribuan terima kasih dan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah.

Saya tidak dapat menafikan kebesaran kuasa doa tersebut dalam kehidupan saya sendiri. Dengan berdoa sebenarnya kita telah melahirkan hubungan komunikasi dengan Allah. Kepercayaan kita terhadap setiap ketentuan Allah akan menjuruskan kita bergerak mengikut amanat yang telah ditentukan Allah.

Bagaimana kita dapat mengenalpasti segala tindakan dan pemikiran kita mendapat bimbingan dari Allah. Itulah dinamakan intuisi atau suara hati. Bagaimana kita mengenalpasti intuisi ini merupakan petunjuk daripada Allah ? Saya akan kupaskan dengan lebih lanjut tentang kuasa intuisi yang ada pada setiap insan dengan lebih lanjut pada article akan datang.

Thursday, August 16, 2007

4 Tip Berguna Untuk Guru

Mengingati Amanah
Ingatlah bahawa setiap pekerjaan yang anda lakukan merupakan satu amanah dan setiap amanah akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Untuk menjadikan anda lebih bertanggungjawab terhadap kerjaya seorang guru. Amalkan tip ini. Setiap pagi apabila anda melangkah keluar dari pintu rumah untuk ke sekolah, mulakan dengan kaki kanan dan apabila kaki kanan jejak saja ke lantai bisikkan ke dalan hati “ Setiap langkahku menuju ke sekolah membawa amanah daripada Allah, Amanah yang ku pegang ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat.” Bisikan hati ini sangat penting kerana ianya akan menjadi satu benteng kuat yang meniupkan semangat kita untuk berkerja kerana Allah dan insyakallah anda pasti tidak akan lalai menunaikan tanggungjawab. Bisikan hati ini perlu diamalkan setiap hari dan kesannya anda pasti akan rasa dalam masa seminggu jika anda amalkan.

Langkah Pahala
Anda perlu tahu, bahawa dari mula langkah anda keluar dari rumah ke sekolah adalah langkah-langkah yang dipenuhi dengan pahala, rahmat dan restu daripada Allah. Cuba anda bayangkan bahawa setiap langkah anda menuju ke kelas, berulang alik dari satu kelas ke satu kelas anda telah mengumpul banyak keberkatan daripada Allah. Belum lagi anda mengajar, anda hanya baru melangkah tetapi anda sudah dilempahi rahmatnya. Umpama anda berjalan sambil mengutip wang siling yang bertaburan di merata-rata di sepanjang perjalanan. Jika anda tahu, pasti seminitpun anda tidak akan lalai dari melambat-lambatkan langkah anda untuk masuk ke kelas.

Kuasa Memberi
Sebenarnya amat susah untuk kita memberi, kerana setiap pemberian yang kita hulurkan pasti mengharapkan sesuatu sama ada ganjaran kewangan, penghargaan, pangkat dan darjat. Jika semua yang diharapkan tidak berbaloi sukar untuk kita menghulurkan sesuatu tambahan pula benda yang akan kita berikan merupakan benda yang amat kita sayang dan hargai. Namun sebenarnya kuasa memberi itu amat luar biasa, Malah para sarjana, tokoh-tokoh islam terkemuka dan sahabat-sahabat nabi sudah mengamalkan dari dulu lagi. Memberi di sini bukan bermaksud harta benda sahaja, memberi di sini mencakupi istilah yang luas. Sebagai seorang guru, memberi nasihat, memberi tunjuk ajar, memberi pengetahuan, memberi peluang kepada pelajar, memberi kata-kata positif dan memberi ruang untuk berhubung dan berkomunikasi dengan pelajar secara ikhlas adalah istilah memberi sebenarnya bagi seorang guru. Memberi di sini bukan kerana ianya satu tanggungjawab kerana ”Aku di bayar Gaji” tetapi memberi untuk melihat anak bangsa berjaya, anak bangsa berdaulat, anak bangsa menjaga maruah agama dan negara dan anak bangsa yang akan mewarisi dunia. Itulah istilah memberi yang sesungguhnya anda akan dilimpahi rahmat Allah jika anda amalkan dalam kehidupan anda seharian. (Baca article tajuk ”Kuasa Memberi” dalam laman ini juga untuk memahami apakah kuasa memberi)

Melihat Potensi
Satu lagi tip yang amat berguna yang mana ianya boleh diamalkan oleh setiap guru jika ingin melihat perubahan yang baik terhadap anak didik mereka ialah melihat potensi. Melihat potensi di sini bermakna bukan melihat potensi anda sebagai seorang guru tetapi melihat potensi anak didik anda, Kebanyakan guru, masuk ke kelas untuk mengajar sudah meletakkan tanggapan atau melabelkan pelajar mereka dengan istilah pandai, tak pandai, malas, rajin, bodoh dan sebagainya. dan ianya pula diikuti dengan mencari kesalahan pelajar mereka dengan pelbagai rungutan, kritikan, dendaan dan leteran.

Cuba anda ubah corak komunikasi yang anda amalkan dahulu kepada melihat bahawa setiap pelajar semuanya berpotensi untuk berjaya. Ubah persepsi anda bahawa kejayaan bukan semata-mata kejayaan dalam bidang akademik kerana istilah kejayaan itu juga adalah luas dan ingat bahawa setiap anak adam yang dilahirkan ke muka bumi ini adalah yang terbaik dan tugas anda adalah membawa mereka ke jalan yang benar.

Pastinya di sekolah anda melihat pelbagai karenah yang negatif yang menyakitkan hati anda, bersabar dan jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan yang negatif, lihat potensi pelajar tersebut dari pelbagai sudut. Contohnya jika pelajar sering tidak membuat kerja rumah, gunakan teguran yang bersifat positif seperti ” Ali anda sebenarnya pandai dan cikgu pasti jika anda usaha lebih sedikit anda pasti akan berjaya. Cikgu sedia membantu bila-bila masa Ali perlukan, Cikgu ingin mambantu Ali tapi jika cikgu seorang susah sikit, boleh tak kita sama sama cari jalan bagaimana hendak meningkatkan prestasi Ali dalam pelajaran. Ali ada apa-apa cadangan?”

Jangan cuba membuat teguran bersifat negatif pasti akan mendatangkan kebencian pelajar tersebut kepada anda dan akibatkan perhubungan anda dan mereka akan bersifat perhubungan yang negatif dan menghalang semua maklumat dan pengetahuan yang anda sampaikan menyerap dalam diri pelajar. Ada peluang puji pelajar anda walaupun anda tahu dia seorang pelajar yang nakal, cuba cari potensi yang ada pada diri pelajar tersebut dan mulakan dengan pujian, Anda akan lihat hasilnya dalam masa kurang dalam satu bulan, pelajar yang jarang buat kerja rumah, ada masalah disiplin, masalah sosial dan masalah ponteng pasti akan menjadikan anda sebagai kawan rapat. Dari situ setiap apa yang anda katakan tentu akan diikutinya.

Saturday, August 11, 2007

Siapa Kaunselor

Selaras dengan hasrat kerajaan yang mengutamakan pembangunan modal insan, Kaunselor juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam penambahbaikan pengurusan dan perlaksanaan binbingan dan kaunseling di sekolah agar dapat berfungsi mengikut keperluan semasa. Dengan sedemikian, faktor manusia sebagai modal insan dapat diperkasakan ke tahap yang optimum.
Namun begitu, kita dapati banyak kelemahan yang timbul yang mana perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang sepatutnya berfungsi membangun, mencegah dan memulih itu tidak meninggalkan kesan malah gejala keruntuhan ahklak dan moral di kalangan remaja sekolah semakin berleluasa. Timbul satu persoalan di sini, apakah sebenarnya yang berlaku dan adakah kaunselor tidak menjalankan peranannya di sekolah dalam memberi pendekatan psikologi dan kaunseling kepada remaja-remaja sekolah ? Dan adakah kaunselor melihat kelemahan sendiri yang menjadi penyebab kepada kurangkan pengetahuan dan pendedahan pelajar terhadap peranan sebenar unit kaunseling di sekolah ?

Kelemahan kaunselor dalam menanggani masalah remaja
Untuk melihat senario ini, kita tidak perlu menyalahkan persekitaran atau menunding jari kepada orang lain sebagai penyebab pengurusan kaunseling tidak dapat berjalan dengan baik. Dengan menunding jari, mengkritik dan menyalahkan orang lain tidak dapat meyelesaikan permasalahan yang timbul. Oleh itu, berbaliklah kepada diri kita sendiri, sejauhmana kita melaksanakan tugas kita dengan ikhlas, jujur dan amanah.

Ada banyak faktor yang menjadikan peranan kaunselor di sekolah dianggap kurang penting serta tidak berjaya mencapai objektifnya untuk membangun, mencegah dan memulih pelajar dan remaja sekolah. Antara faktor yang dianggap penting adalah daripada sikap kaunselor itu sendiri. Saya cuba mengupas 4 faktor yang saya rasa penting dan perlu dipetimbangkan dalam membentuk kaunselor cemerlang. Antaranya adalah seperti :
Menganggap kerjaya kaunselor hanya makan gaji.
Persepsi yang salah tentang tanggungjawab dan tugas sebenar kaunselor.
Sikap dan personaliti kaunselor itu sendiri.
Tidak meletakkan matlamat dirinya sendiri sebagai seorang kaunselor.

Menganggap kerjaya kaunselor sebagai makan gaji.
Dalam apa jua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita, sebenarnya dipengaruhi oleh matlamat sebenar kita menerima tanggungjawab itu (Stephen R. Covey 1989). Apa yang kita sedia maklum bahawa kebanyakkan graduan yang dilahirkan dalam bidang kaunseling mahupun bidang-bidang lain meletakkan matlamat pertama adalah ganjaran (gaji), penghargaan, pengiktirafan (pangkat) dan penghormatan. Oleh itu dia akan berkerja bukan untuk pelajar dan kliennya tetapi mengejar impiannya. Sebab itulah dia mengenepikan tanggungjawab dan amanahnya sebagai seorang kaunselor serta rela melakukan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh pihak pentadbir atau pengurusan. Perkara ini sudah terbukti dan menjadi amalan kebanyakkan kaunselor di sekolah-sekolah meletakkan tugas lain sebagai tugas utama dan menjadikan tugas kaunseling seperti melepaskan batuk di tangga. Jika inilah menjadi ukuran terhadap kerjaya mereka, maka itulah yang akan mereka perolehi. Jika graduan dan kaunselor tersebut menetapkan matlamatnya untuk membantu, membangun, membentuk,memulih dan mencegah sebagai matlamat pertamanya, maka ia akan berkerja untuk kecemerlangan pelajar-pelajarnya. Bagi umat Islam, sebaik-baiknya letakkan matlamat pertama anda kerana Allah (Lillahitaala..) nescaya anda akan mendapat kedua-duanya (Dr. Rohizani Yaakub dan Shahabuddin Hashim, 2004).

Persepsi yang salah terhadap tugas sebenar kaunselor
Walaupun kaunselor telah didedahkan dengan teoritikal, kemahiran dan latihan sebagai seorang kaunselor. Namun kebanyakkan kaunselor bila sampai ke sekolah mempunyai persepsi yang salah tentang peranan mereka sebenar. Kekaburan tentang tugas sebenar mereka akan menyebabkan fungsi kaunselor menjadi kurang berkesan. Kaunselor tidak dapat mengimbangkan keutamaan-keutamaan tugas dan tanggungjawabnya. Senario di sekolah sekarang, Kebanyakkan kaunselor memberi tumpuan kepada program motivasi ke arah kecemerlangan akademik pelajar semata-mata seperti kem motivasi, teknik belajar, kem kecemerlangan akademik dan lain-lain yang menfokuskan kepada pencapaian akademik sekolah. Tanpa disedari mereka mengabaikan peranan utama mereka sebagai kaunselor. Sesi kaunseling individu, kelompok semakin merosot dan akhirnya pupus. Fungsi membangun, mencegah dan memulih bertukar kepada fungsi kecemerlangan akademik. Tumpuan kepada pembangunan insan, pembentukan akhlak semakin lengyap begitu sahaja. Malah dalam setahun kita boleh kira dengan jari, berapa banyak sesi kaunseling dijalankan. Malah, ada kaunselor yang sudah lupa langsung tentang kemahiran sesi kaunseling individu dan kelompok.


Sikap dan personaliti kaunselor itu sendiri.
Selain daripada persepsi, sikap dan personaliti kaunselor juga merupakan faktor utama menentukan kejayaan unit kaunseling di sekolah dalam membangunkan, mencegah dan memulihkan remaja sekolah. Etika akhlak perlu dijadikan amalan. Perkara seperti intergriti, kepercayaan, kerahsian, kerendahan hati, kejujuran, kesederhanaan, keberanian, keadilan, kesabaran, kesopanan serta menjadikan Etika Kaunselor sebagai garis panduan adalah asas kepada kejayaan yang berkesan dalam menjadi kaunselor cemerlang. Kita dapati banyak kaunselor mempunyai kebolehan mempengaruhi orang lain melalui kemahiran komunikasi yang berkesan, berkerja dengan rajin, memberi motivasi di sekolah, negeri malah ada diperingkat kebangsaan, mereka juga dapat menarik ramai orang menyukainya tetapi jika etika akhlak tidak dijadikan tunjang utama, tanpa disedari mereka telah merencatkan perlakuan mereka pada asasnya, dinodai dengan penipuan, ketidakjujuran dan akhirnya lama kelamaan mereka tidak berjaya. Penipuan mereka akan melahirkan ketidakpercayaan, dan segala yang mereka lakukan meskipun menggunakan teknik perhubungan manusia yang berkesan akan dianggap sebagai manipulatif. Tidak kira betapa baik kata-kata keluar daripada mulut mereka, jika kepercayaan klien kepada kita tipis atau luput, tiadalah dasar untuk kejayaan kekal dalam erti kata sebenarnya. Menurut Dr. Rohizani Yaakub dan Shahabuddin Hashim, 2004. Hanya kebaikan sahsiah dan personaliti yang unggul menjadi asas kepada menghidupkan tabiat dan tingkahlaku yang positif.


Tidak meletakkan matlamat dirinya sendiri sebagai seorang kaunselor.
Sememangkan kita akui, bahawa setiap sekolah telah menetapkan objektif, misi , visi dan matlamat kaunseling di sekolah masing-masing. Namun berapa ramaikah para keunselor peka terhadap kepentingan membina matlamat sebenar dirinya sebagai seorang kaunselor ? Matlamat kaunseling sekolah satu perkara lain, dan matlamat kaunselor sendiri juga merupakan satu perkara yang berbeza. Jika matlamat kaunseling sekolah berkehendakkan hasil yang sedemikian tetapi matlamat kaunselor tidak sebegitu. Maka fungsi kaunseling sudah menjadi samar dan tidak jelas.

Matlamat kaunseling haruslah sama dengan matlamat anda sebagai seorang kaunselor. Cuba anda ketepikan matlamat kaunseling sekolah dan tuliskan apakah matlamat anda sebagai seorang kaunselor ? Apakah perkara utama yang akan anda capai sebagai seorang kaunselor sekolah ? mungkin anda menyenaraikan banyak keutamaan tersebut. Kemudian susun matlamat-matlamat anda mengikut keutamaan-keutamaannya. Dan bandingkan matlamat anda sebagai seorang kaunselor dengan matlamat sebenar kaunseling sekolah. Saya percaya jika anda meletakkan kepentingan peribadi sebagai matlamat utama anda sebagai kaunselor maka anda masih tidak sampai ke tempat yang betul. Usaha anda untuk kemenangan peribadi hanya meletakkan anda di tempat yang salah dengan tepat ( Stephen R. Covey 1989). Oleh itu, jangan anda salahkan pihak lain jika anda tidak dapat membentuk pembangunan insan yang sebenarnya.

Kesimpulan
Sebagai seorang kaunselor, kita harus bergerak ke arah membina empayar kerjaya kita berasaskan kepada perubahan sikap, persepsi dan matlamat sebenar kita sebagai kaunselor pelajar. Dan dapatkah kita benar-benar membina perubahan dalam kehidupan kita ? Jika kita dapat mengubah cara kita melihat maka kita akan dapat mengubah cara berfikir dan bertindak. Aristotle dalam Stephen R. Covey, 1989.pernah menyatakan bahawa kita menjadi apa yang selalu kita lakukan, maka kecemerlangan bukanlah satu tindakan, tetapi satu tabiat dan sikap. Sikap kita, matlamat kita dan persepsi kita pada asasnya ialah gabungan semua yang akan membentuk tabiat kita.

Jadilah Sebenarnya Guru

Kerjaya guru suatu ketika dulu dipandang mulia, kata-kata dan tunjuk ajarnya benar belaka, tiada nampak cacat cela di mana-mana, disanjung dipuja sentiasa. Guru mengajar tak kira masa, mencurahkan bakti tanpa kenal erti mengeluh kesah. Dulu gaji guru tak seberapa, berkhidmat di pendalaman dengan rela. Meredah kampong, hulu, bandar dan hutan belantara, lantaran dek tugas yang dipikul, guru sedia berkhidmat di mana-mana. Senyuman pelajar, hiburan guru dikala duka. Ketawa pelajar menjadi pengubat rindu yang membara, kesedihan pelajar menikam sanubari jiwa, seorang guru sentiasa bersama pelajar suka dan duka. Pendapatan yang dapat tidaklah seberapa, sampai pencenpun tak kaya, namun tetap tersenyum bangga kerana kejayaan pelajarnya adalah kejayaan bersama. Itulah guru kita.

Namun apa sudah jadi dengan guru kita? Peralihan zaman telah mengubah budi bicara, pemikiran dan tingkah laku mereka. Zaman tradisional bertukar kapitalis, liberal dan global mengubah hampir keseluruhan hidup dan budaya. Guru tidak lagi ceria, individualisma dan egoisma menjadi pegangan utama. Kerjaya guru bukan dianggap sebagai kerja mulia tapi dijadikan hampatan duit semata-mata. Mengajar sambil lewa, tak masuk kelaspun tak mengapa kerana bulan-bulan makan gaji buta. Dalam kelas anak murid tergangga dikatakan buta tak tahu membaca, disumbat dengan leteran dan kata nista. Mana budi bahasa? Salah pelajar dicari merata, salah guru tutup sebelah mata. Keruntuhan moral pelajar dijadikan bahan utama untuk menunding jari merata-rata.

Wahai guruku, sedarlah anda, Setiap langkah kananmu membawa pahala, perjalananmu penuh dengan rahmat Allah merata-rata, Keikhlasanmu akan mengubah dunia, ketulusanmu akan membangunkan ummah dan mendaulatkan negara. Tugasmu bukan hanya didunia, tugasmu sebagai amanah dan kewajipan dari Allahtaala.. Betapa bahagianya menjadi guru kerana dapat berbakti kepada bangsa, negara dan agama. Itulah tugas guru selagi nafas dihembus selagi itu tetap berjasa. Jadilah guru sebenar guru.

Friday, August 10, 2007

Terima Kasih Guru

Rata-rata kini bercakap tentang perangai guru yang dikatakan tidak senonoh, bukan sahaja melibatkan guru lelaki malah guru perempuan pun dikatakan bertindak keterlaluan. Berita tv, akhbar dan internet sedapnya mengumpat dan seronoknya dapat berita sensasi tanpa menilai kesahan berita tersebut. Letak muka depan pulak tu... larisnya surat khabar macam goreng pisang. Malah yang peliknya macam dibuat-buat pula, selang sehari berita guru cabul, esok guru dera pelajar, lusa guru rendam pelajar. Ada konsperasi ke nak jatuhkan maruah guru? Biasalah... orang tidak akan melihat 99% guru yang cemerlangkan anak bangsa, 99% guru yang melahirkan insan berwibawa, 99% guru yang meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan kita. Pernahkah berita pengorbanan seorang guru di letakkan di muka depan ? Setahun adalah 4 kali waktu pengumuman peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM itupun bukan guru yang ditonjolkan sebagai pemangkin kegemilangan malah kewibawaan pelajar tersebut dengan usaha ibubapanya dijadikan paparan utama. Kesian guru. Duduk tak senang, berdiri tak senang nak mencangkungpun takut masuk surat khabar lagi jadi isu sensasi. Di mana hilangnya kewibawaan seorang guru, di mana perginya maruah seorang guru dan di mana kebebasan guru menjalankan tanggungjawabnya tanpa diselubungi dengan ketakutan memanjang.

Etika profesional selalu di laung-laungkan. Setiap jabatan kerajaan ada garis panduan dan perkeliling perkhidmatan yang perlu dipatuhi. Lembaga tatatertib bukan suka hati ditubuhkan. Di mana letaknya garis panduan perkhimatan dan tugas serta tanggungjawab badan disiplin dan lembaga tatatertib bila kes dan isu guru ini ditimbulkan ? Sejauhmana guru kita mendapat pengadilan sewajarnya sebelum benar-benar dibuktikan mereka bersalah ? Satu penganiayaan yang besar apabila guru yang belum tentu bersalah sudah diberi hukum oleh media massa. Bicara belum, keputusan mahkamah belum tapi hukuman mengaibkan sudah terbentang di dada-dada akhbar. Ya..Allah ya tuhanku.. lindungi guru-guruku yang mengorbankan diri untuk anak bangsa, meletakkan maruah negara di tangan mereka yang melahirkan bangsa berwibawa.

Sesuatu yang peliknya, apabila baru-baru ini keluar berita tentang 2 orang guru yang didapati tidak bersalah atas tuduhan mendera anak murid mereka ditutup begitu sahaja. Mana perginya media massa ? Berita itu tidak pula jadi berita utama. Nasib baik guru tersebut tidak saman media.. Kalau nak buat duit dah dapat berjuta. Lagi peliknya, ibubapa pula sekarang ini mengambil kesempatan cari publisiti di media hingga sanggup jatuhkan maruah anaknya hanya untuk tujuan mensensasikan lagi berita tersebut. Apa sudah jadi.. Mana perginya fungsi PIBG yang sepatutnya berkerjasama dengan pihak pentadbir sekolah mengatasi isu ini dengan rasional. Malah ada pengerusi PIBG sendiri yang buat laporan polis tanpa usul periksa. Sepatutnya dia sebagai ketua bertindak janganlah membabi buta. Berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik, mengkaji dan menyiasat kesahihan berita tersebut secara mendalam sebelum sebarang tindakan dibuat.

Itulah orang kata nila setitik rosak susu sebelangga. Wahai guru yang setia, mengorban diri untuk anak bangsa, menaikkan nama negara dan melahirkan masyarakat berwibawa. Usah terhakis usahamu, jangan gentar dengan dugaanmu, teruskan perjuanganmu kerana keikhlasan mengajar dengan ketulusan jiwa itulah menjadikan dirimu dipandang mulia sebagai khalifah Allah di bumi yang fana ini. Amin.

Menutup aib orang adalah lebih baik daripada membuka pekung didada dan akhirnya memakan anak bangsa. Apa akibatnya ya..jika guru tak mengajar..??? hancur bangsa hancurlah negara.