Friday, August 10, 2007

Terima Kasih Guru

Rata-rata kini bercakap tentang perangai guru yang dikatakan tidak senonoh, bukan sahaja melibatkan guru lelaki malah guru perempuan pun dikatakan bertindak keterlaluan. Berita tv, akhbar dan internet sedapnya mengumpat dan seronoknya dapat berita sensasi tanpa menilai kesahan berita tersebut. Letak muka depan pulak tu... larisnya surat khabar macam goreng pisang. Malah yang peliknya macam dibuat-buat pula, selang sehari berita guru cabul, esok guru dera pelajar, lusa guru rendam pelajar. Ada konsperasi ke nak jatuhkan maruah guru? Biasalah... orang tidak akan melihat 99% guru yang cemerlangkan anak bangsa, 99% guru yang melahirkan insan berwibawa, 99% guru yang meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan kita. Pernahkah berita pengorbanan seorang guru di letakkan di muka depan ? Setahun adalah 4 kali waktu pengumuman peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM itupun bukan guru yang ditonjolkan sebagai pemangkin kegemilangan malah kewibawaan pelajar tersebut dengan usaha ibubapanya dijadikan paparan utama. Kesian guru. Duduk tak senang, berdiri tak senang nak mencangkungpun takut masuk surat khabar lagi jadi isu sensasi. Di mana hilangnya kewibawaan seorang guru, di mana perginya maruah seorang guru dan di mana kebebasan guru menjalankan tanggungjawabnya tanpa diselubungi dengan ketakutan memanjang.

Etika profesional selalu di laung-laungkan. Setiap jabatan kerajaan ada garis panduan dan perkeliling perkhidmatan yang perlu dipatuhi. Lembaga tatatertib bukan suka hati ditubuhkan. Di mana letaknya garis panduan perkhimatan dan tugas serta tanggungjawab badan disiplin dan lembaga tatatertib bila kes dan isu guru ini ditimbulkan ? Sejauhmana guru kita mendapat pengadilan sewajarnya sebelum benar-benar dibuktikan mereka bersalah ? Satu penganiayaan yang besar apabila guru yang belum tentu bersalah sudah diberi hukum oleh media massa. Bicara belum, keputusan mahkamah belum tapi hukuman mengaibkan sudah terbentang di dada-dada akhbar. Ya..Allah ya tuhanku.. lindungi guru-guruku yang mengorbankan diri untuk anak bangsa, meletakkan maruah negara di tangan mereka yang melahirkan bangsa berwibawa.

Sesuatu yang peliknya, apabila baru-baru ini keluar berita tentang 2 orang guru yang didapati tidak bersalah atas tuduhan mendera anak murid mereka ditutup begitu sahaja. Mana perginya media massa ? Berita itu tidak pula jadi berita utama. Nasib baik guru tersebut tidak saman media.. Kalau nak buat duit dah dapat berjuta. Lagi peliknya, ibubapa pula sekarang ini mengambil kesempatan cari publisiti di media hingga sanggup jatuhkan maruah anaknya hanya untuk tujuan mensensasikan lagi berita tersebut. Apa sudah jadi.. Mana perginya fungsi PIBG yang sepatutnya berkerjasama dengan pihak pentadbir sekolah mengatasi isu ini dengan rasional. Malah ada pengerusi PIBG sendiri yang buat laporan polis tanpa usul periksa. Sepatutnya dia sebagai ketua bertindak janganlah membabi buta. Berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik, mengkaji dan menyiasat kesahihan berita tersebut secara mendalam sebelum sebarang tindakan dibuat.

Itulah orang kata nila setitik rosak susu sebelangga. Wahai guru yang setia, mengorban diri untuk anak bangsa, menaikkan nama negara dan melahirkan masyarakat berwibawa. Usah terhakis usahamu, jangan gentar dengan dugaanmu, teruskan perjuanganmu kerana keikhlasan mengajar dengan ketulusan jiwa itulah menjadikan dirimu dipandang mulia sebagai khalifah Allah di bumi yang fana ini. Amin.

Menutup aib orang adalah lebih baik daripada membuka pekung didada dan akhirnya memakan anak bangsa. Apa akibatnya ya..jika guru tak mengajar..??? hancur bangsa hancurlah negara.

0 comments: