Saturday, May 5, 2007

Niat Menjadi Guru

Niat Menjadi Guru

Guru mahupun digelar sebagai pendidik memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan. Sedar ataupun tidak tanggungjawab guru bukan boleh dibuat main-main atau melepaskan batuk di tangga. Pengaruh guru sangat besar terutamanya dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa, Jatuhnya guru maka jatuhlah bangsa. Guru perlu ingat bahawa masa depan negara kita sebenarnya terletak bukan sahaja ditangan pemerintah yang ada sekarang tetapi di tangan anda. Cemerlangnya anak, maka cemerlanglah negara, Buruknya anak didik maka cemarlah negara.
Sama ada sedar atau tidak, sebahagian daripada masalah akhlak remaja sebenarnya perlu dipertanggungjawabkan juga oleh guru. Mungkin ada yang tidak setuju, namun pada hakikatnya guru perlu menerimanya walaupun pahit. Kenapa saya berkata sedemikian, sedangkan saya juga seorang guru. Pengalaman selama 14 tahun telah mengajar saya erti tanggungjawab dan amanah yang saya pikul sekarang.
Rata-rata guru sekarang sibuk dengan tuntutan gaji, kebajikan, mengeluh dengan bebanan kerja dan menyalahkan pihak A, B dan C jika berlakunya krisis atau konflik di sekolah. Tidak kira sama ada konflik antara guru dan guru, guru dan murid, guru dan ibubapa dan guru dengan masyarakat. Di akhbar, majalah dan media masa pula memaparkan pelbagai isu yang tidak sedap didengar. Sebelum kita menyalahkan pelbagai pihak dan mengambil sikap lepas tangan terutamanya jika melibatkan sahsiah dan akhlak remaja. Cuba-cuba renungkan kesahsihan bicara saya.
Niat memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Dalam Islam juga sangat menitik beratkan niat dalam setiap kerangka perjalanan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Cuba anda tanya pada diri sendiri, Niat menjadi seorang guru untuk apa ? Banyak jawapan yang saya terima iaitu, jadi guru terjamin, guru sekarang gaji mahal, pilihan terakhir saya ialah guru kerana minta kerja lain tak dapat ataupun ada yang berkata guru banyak cuti, kerja senang, separuh hari dah balik, petang dan malam boleh buat tuisyen. Maka itulah padahnya apabila kita bersandarkan niat materialistik semata-mata. Jiwa sebagai guru, pendidik dan pembimbing lenyap dik arus mengejar harta benda. Tanggungjawab mendidik hanya melepaskan batuk di tangga, yang penting masuk kelas mengajar, habis kelas balik, masuk lewat keluar awal, tak masuk kelas jangan cerita, senyap-senyap sebab pengetua dan guru besar tidak nampak, ada juga yang masuk kelas tidak mengajar, bulan-bulan dapat gaji.
Namun guru harus tahu satu perkara, Niat keikhlasan kita mengajar sebenarnya dapat dibaca oleh pelajar-pelajar kita. Niat sebenarnya akan terpancar melalui tuturkata dan tingkahlaku anda. Sikap dan perlakuan guru sewaktu mengajar boleh dibaca oleh anak didik kita. Jika pelajar membenci dan tidak menyukai maka tindakbalas mereka terhadap pengajaran guru adalah negatif. Oleh itu, cuba ubah niat. Guru yang mengajar kerana Lillahitaallah terpancar cahaya seorang pendita, rohnya meresap ke dalam sanubari anak didiknya dan mengalir di setiap aliran darahnya, menikam emosi dan rohani mereka hinggakan anak didiknya pasti mendapat jaminan Allah terkawal akhlak mereka. Malah bukan itu sahaja, keikhlasan seorang guru mendidik anak bangsanya mendapat kenikmatan dan kepuasan yang tidak terhingga kerana keredhaan Allah dan dijanjikan pahala setiap langkah kakinya menuju ke kelas semata-mata menunaikan janjinya sebagai khalifah di muka bumi ini. InsyakAllah...

0 comments: