Saturday, August 11, 2007

Jadilah Sebenarnya Guru

Kerjaya guru suatu ketika dulu dipandang mulia, kata-kata dan tunjuk ajarnya benar belaka, tiada nampak cacat cela di mana-mana, disanjung dipuja sentiasa. Guru mengajar tak kira masa, mencurahkan bakti tanpa kenal erti mengeluh kesah. Dulu gaji guru tak seberapa, berkhidmat di pendalaman dengan rela. Meredah kampong, hulu, bandar dan hutan belantara, lantaran dek tugas yang dipikul, guru sedia berkhidmat di mana-mana. Senyuman pelajar, hiburan guru dikala duka. Ketawa pelajar menjadi pengubat rindu yang membara, kesedihan pelajar menikam sanubari jiwa, seorang guru sentiasa bersama pelajar suka dan duka. Pendapatan yang dapat tidaklah seberapa, sampai pencenpun tak kaya, namun tetap tersenyum bangga kerana kejayaan pelajarnya adalah kejayaan bersama. Itulah guru kita.

Namun apa sudah jadi dengan guru kita? Peralihan zaman telah mengubah budi bicara, pemikiran dan tingkah laku mereka. Zaman tradisional bertukar kapitalis, liberal dan global mengubah hampir keseluruhan hidup dan budaya. Guru tidak lagi ceria, individualisma dan egoisma menjadi pegangan utama. Kerjaya guru bukan dianggap sebagai kerja mulia tapi dijadikan hampatan duit semata-mata. Mengajar sambil lewa, tak masuk kelaspun tak mengapa kerana bulan-bulan makan gaji buta. Dalam kelas anak murid tergangga dikatakan buta tak tahu membaca, disumbat dengan leteran dan kata nista. Mana budi bahasa? Salah pelajar dicari merata, salah guru tutup sebelah mata. Keruntuhan moral pelajar dijadikan bahan utama untuk menunding jari merata-rata.

Wahai guruku, sedarlah anda, Setiap langkah kananmu membawa pahala, perjalananmu penuh dengan rahmat Allah merata-rata, Keikhlasanmu akan mengubah dunia, ketulusanmu akan membangunkan ummah dan mendaulatkan negara. Tugasmu bukan hanya didunia, tugasmu sebagai amanah dan kewajipan dari Allahtaala.. Betapa bahagianya menjadi guru kerana dapat berbakti kepada bangsa, negara dan agama. Itulah tugas guru selagi nafas dihembus selagi itu tetap berjasa. Jadilah guru sebenar guru.

0 comments: