Saturday, August 11, 2007

Siapa Kaunselor

Selaras dengan hasrat kerajaan yang mengutamakan pembangunan modal insan, Kaunselor juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam penambahbaikan pengurusan dan perlaksanaan binbingan dan kaunseling di sekolah agar dapat berfungsi mengikut keperluan semasa. Dengan sedemikian, faktor manusia sebagai modal insan dapat diperkasakan ke tahap yang optimum.
Namun begitu, kita dapati banyak kelemahan yang timbul yang mana perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang sepatutnya berfungsi membangun, mencegah dan memulih itu tidak meninggalkan kesan malah gejala keruntuhan ahklak dan moral di kalangan remaja sekolah semakin berleluasa. Timbul satu persoalan di sini, apakah sebenarnya yang berlaku dan adakah kaunselor tidak menjalankan peranannya di sekolah dalam memberi pendekatan psikologi dan kaunseling kepada remaja-remaja sekolah ? Dan adakah kaunselor melihat kelemahan sendiri yang menjadi penyebab kepada kurangkan pengetahuan dan pendedahan pelajar terhadap peranan sebenar unit kaunseling di sekolah ?

Kelemahan kaunselor dalam menanggani masalah remaja
Untuk melihat senario ini, kita tidak perlu menyalahkan persekitaran atau menunding jari kepada orang lain sebagai penyebab pengurusan kaunseling tidak dapat berjalan dengan baik. Dengan menunding jari, mengkritik dan menyalahkan orang lain tidak dapat meyelesaikan permasalahan yang timbul. Oleh itu, berbaliklah kepada diri kita sendiri, sejauhmana kita melaksanakan tugas kita dengan ikhlas, jujur dan amanah.

Ada banyak faktor yang menjadikan peranan kaunselor di sekolah dianggap kurang penting serta tidak berjaya mencapai objektifnya untuk membangun, mencegah dan memulih pelajar dan remaja sekolah. Antara faktor yang dianggap penting adalah daripada sikap kaunselor itu sendiri. Saya cuba mengupas 4 faktor yang saya rasa penting dan perlu dipetimbangkan dalam membentuk kaunselor cemerlang. Antaranya adalah seperti :
Menganggap kerjaya kaunselor hanya makan gaji.
Persepsi yang salah tentang tanggungjawab dan tugas sebenar kaunselor.
Sikap dan personaliti kaunselor itu sendiri.
Tidak meletakkan matlamat dirinya sendiri sebagai seorang kaunselor.

Menganggap kerjaya kaunselor sebagai makan gaji.
Dalam apa jua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita, sebenarnya dipengaruhi oleh matlamat sebenar kita menerima tanggungjawab itu (Stephen R. Covey 1989). Apa yang kita sedia maklum bahawa kebanyakkan graduan yang dilahirkan dalam bidang kaunseling mahupun bidang-bidang lain meletakkan matlamat pertama adalah ganjaran (gaji), penghargaan, pengiktirafan (pangkat) dan penghormatan. Oleh itu dia akan berkerja bukan untuk pelajar dan kliennya tetapi mengejar impiannya. Sebab itulah dia mengenepikan tanggungjawab dan amanahnya sebagai seorang kaunselor serta rela melakukan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh pihak pentadbir atau pengurusan. Perkara ini sudah terbukti dan menjadi amalan kebanyakkan kaunselor di sekolah-sekolah meletakkan tugas lain sebagai tugas utama dan menjadikan tugas kaunseling seperti melepaskan batuk di tangga. Jika inilah menjadi ukuran terhadap kerjaya mereka, maka itulah yang akan mereka perolehi. Jika graduan dan kaunselor tersebut menetapkan matlamatnya untuk membantu, membangun, membentuk,memulih dan mencegah sebagai matlamat pertamanya, maka ia akan berkerja untuk kecemerlangan pelajar-pelajarnya. Bagi umat Islam, sebaik-baiknya letakkan matlamat pertama anda kerana Allah (Lillahitaala..) nescaya anda akan mendapat kedua-duanya (Dr. Rohizani Yaakub dan Shahabuddin Hashim, 2004).

Persepsi yang salah terhadap tugas sebenar kaunselor
Walaupun kaunselor telah didedahkan dengan teoritikal, kemahiran dan latihan sebagai seorang kaunselor. Namun kebanyakkan kaunselor bila sampai ke sekolah mempunyai persepsi yang salah tentang peranan mereka sebenar. Kekaburan tentang tugas sebenar mereka akan menyebabkan fungsi kaunselor menjadi kurang berkesan. Kaunselor tidak dapat mengimbangkan keutamaan-keutamaan tugas dan tanggungjawabnya. Senario di sekolah sekarang, Kebanyakkan kaunselor memberi tumpuan kepada program motivasi ke arah kecemerlangan akademik pelajar semata-mata seperti kem motivasi, teknik belajar, kem kecemerlangan akademik dan lain-lain yang menfokuskan kepada pencapaian akademik sekolah. Tanpa disedari mereka mengabaikan peranan utama mereka sebagai kaunselor. Sesi kaunseling individu, kelompok semakin merosot dan akhirnya pupus. Fungsi membangun, mencegah dan memulih bertukar kepada fungsi kecemerlangan akademik. Tumpuan kepada pembangunan insan, pembentukan akhlak semakin lengyap begitu sahaja. Malah dalam setahun kita boleh kira dengan jari, berapa banyak sesi kaunseling dijalankan. Malah, ada kaunselor yang sudah lupa langsung tentang kemahiran sesi kaunseling individu dan kelompok.


Sikap dan personaliti kaunselor itu sendiri.
Selain daripada persepsi, sikap dan personaliti kaunselor juga merupakan faktor utama menentukan kejayaan unit kaunseling di sekolah dalam membangunkan, mencegah dan memulihkan remaja sekolah. Etika akhlak perlu dijadikan amalan. Perkara seperti intergriti, kepercayaan, kerahsian, kerendahan hati, kejujuran, kesederhanaan, keberanian, keadilan, kesabaran, kesopanan serta menjadikan Etika Kaunselor sebagai garis panduan adalah asas kepada kejayaan yang berkesan dalam menjadi kaunselor cemerlang. Kita dapati banyak kaunselor mempunyai kebolehan mempengaruhi orang lain melalui kemahiran komunikasi yang berkesan, berkerja dengan rajin, memberi motivasi di sekolah, negeri malah ada diperingkat kebangsaan, mereka juga dapat menarik ramai orang menyukainya tetapi jika etika akhlak tidak dijadikan tunjang utama, tanpa disedari mereka telah merencatkan perlakuan mereka pada asasnya, dinodai dengan penipuan, ketidakjujuran dan akhirnya lama kelamaan mereka tidak berjaya. Penipuan mereka akan melahirkan ketidakpercayaan, dan segala yang mereka lakukan meskipun menggunakan teknik perhubungan manusia yang berkesan akan dianggap sebagai manipulatif. Tidak kira betapa baik kata-kata keluar daripada mulut mereka, jika kepercayaan klien kepada kita tipis atau luput, tiadalah dasar untuk kejayaan kekal dalam erti kata sebenarnya. Menurut Dr. Rohizani Yaakub dan Shahabuddin Hashim, 2004. Hanya kebaikan sahsiah dan personaliti yang unggul menjadi asas kepada menghidupkan tabiat dan tingkahlaku yang positif.


Tidak meletakkan matlamat dirinya sendiri sebagai seorang kaunselor.
Sememangkan kita akui, bahawa setiap sekolah telah menetapkan objektif, misi , visi dan matlamat kaunseling di sekolah masing-masing. Namun berapa ramaikah para keunselor peka terhadap kepentingan membina matlamat sebenar dirinya sebagai seorang kaunselor ? Matlamat kaunseling sekolah satu perkara lain, dan matlamat kaunselor sendiri juga merupakan satu perkara yang berbeza. Jika matlamat kaunseling sekolah berkehendakkan hasil yang sedemikian tetapi matlamat kaunselor tidak sebegitu. Maka fungsi kaunseling sudah menjadi samar dan tidak jelas.

Matlamat kaunseling haruslah sama dengan matlamat anda sebagai seorang kaunselor. Cuba anda ketepikan matlamat kaunseling sekolah dan tuliskan apakah matlamat anda sebagai seorang kaunselor ? Apakah perkara utama yang akan anda capai sebagai seorang kaunselor sekolah ? mungkin anda menyenaraikan banyak keutamaan tersebut. Kemudian susun matlamat-matlamat anda mengikut keutamaan-keutamaannya. Dan bandingkan matlamat anda sebagai seorang kaunselor dengan matlamat sebenar kaunseling sekolah. Saya percaya jika anda meletakkan kepentingan peribadi sebagai matlamat utama anda sebagai kaunselor maka anda masih tidak sampai ke tempat yang betul. Usaha anda untuk kemenangan peribadi hanya meletakkan anda di tempat yang salah dengan tepat ( Stephen R. Covey 1989). Oleh itu, jangan anda salahkan pihak lain jika anda tidak dapat membentuk pembangunan insan yang sebenarnya.

Kesimpulan
Sebagai seorang kaunselor, kita harus bergerak ke arah membina empayar kerjaya kita berasaskan kepada perubahan sikap, persepsi dan matlamat sebenar kita sebagai kaunselor pelajar. Dan dapatkah kita benar-benar membina perubahan dalam kehidupan kita ? Jika kita dapat mengubah cara kita melihat maka kita akan dapat mengubah cara berfikir dan bertindak. Aristotle dalam Stephen R. Covey, 1989.pernah menyatakan bahawa kita menjadi apa yang selalu kita lakukan, maka kecemerlangan bukanlah satu tindakan, tetapi satu tabiat dan sikap. Sikap kita, matlamat kita dan persepsi kita pada asasnya ialah gabungan semua yang akan membentuk tabiat kita.

3 comments:

Anonymous said...

kaunselor sepatutnya jadi role model utama kepada pelajar. segala tingkah laku kaunselor diperhatikan oleh pelajar. Tapi malangnya disetengah sekolah ada kaunselor yang berperwatakan sama seperti guru biasa malah ada yang lebih teruk dari segi perwatakan, pertuturan dan pergaulan.. Ini menyebabkan kaunselor gagal berfungsi dengan baik

Elmy said...

Itulah jika kerjaya kaunselor itu dijadikan kerjaya makan gaji, Kemahiran dan ilmu kaunseling tidak diamalkan dengan sempurna, belajar hanya untuk dapat duit bukan untuk dapat ilmu. Mereka tidak tahu bahawa ilmu perlu diamalkan baru boleh diaplikasikan, jika tak amal aplikasipun tak guna kerana orang belajar berdasarkan peniruan.

waliz said...

sebenarnya kaunselor yang ada kat sekolah tu ada yang tak cukup latihan...ada lecturer yang bagi lecture je tapi tak tekankan kemahiran asas yang ada dalam kaunseling..sama juga dengan teori..kita patut bagi kaunselor yang ada ni timba banyak pengalaman dulu..maklumlah..mana ada manusia yang perfect walaupun pegang jawatan kaunselor..