Tuesday, May 20, 2008

Guru, Sejauh Mana Boleh Berlari ?

Kita baru sahaja menyambut hari guru pada 16 Mei lepas, kemeriahannya masih lagi hangat dan membara dengan pengiktirafan-pengiktirafan yang diberikan kepada golongan pendidik bagi meningkatkan profesionalisma perguruan negara. Ketika dunia menyaksikan persaingan sengit dalam usaha meningkatkan kemajuan dan peradaban manusia. Pendidikan insaniah mula dititik beratkan sebagai satu modal insan yang dinamik. Garis pengukuran pencapaian dalam pendidikan dijadikan sebagai satu ukuran menentukan pembangunan sesebuah negara.

Peranan guru masa kini, tidak boleh tidak, kita harus terima hakikatnya bahawa tanggungjawab yang dipikul oleh para pendidik bukan setakat memberikan ilmu pengetahuan semata-mata. tetapi adalah sebagai pendidik yang memberi sumbangan untuk melahirkan warganegara yang memiliki nilai-nilai kemanusiaan bersifat universal. Falsafah Pendikan Negara dengan jelas menerangkan konsep modal insan yang sepatutnya dipupuk dan dibentuk mengikut acuan yang diberikan. Di sinilah kejayaan sebenar guru di mana anak-anak muridnya keluar dari sekolah sebagai manusia yang mampu bukan saja berdikari untuk mencari rezeki tetapi juga memiliki kesedaran moral untuk memperjuangkan kebenaran dan melaksanakan keadilan.

Namun, kenapa hasrat murni mendidik ini dimatikan? Digali dan ditanam agar baunya tidak akan menyelubungi bumi. Begitukah yang dikehendaki oleh masyarakat sekarang ? Jika itu yang dikehendaki oleh masyarakat. Pasti para pendidik selepas ini akan mengajar dan bukan mendidik kerana mendidik tidak diperlukan lagi. Pendidik hanya akan melaksanakan tugas mengajar dan mendidik pelajar bukan lagi tugas mereka. Maka Pendidik kita tukarkan kepada pengajar kerana istilah mengajar menjurus kepada memberikan maklumat atau infomasi daripada tidak tahu apa itu ABC kepada tahu apa itu sejarah dan apa itu sains dan teknologi.

Sungguh menyayat hati apabila membaca akhbar hari ini. Hanya kerana memberi amaran kepada seorang murid akan melondehkan seluarnya, seorang guru terpaksa menerima aib ditahan empat anggota polis di kelas selepas perhimpunan pagi di sebuah sekolah elit, baru-baru ini. Lebih memeritkan apabila dia terpaksa meringkuk semalaman di sebuah balai polis.

Penggunaan kuasa sewenang-wenangnya terhadap seorang pendidik hanya bertujuan menjatuhkan maruah dan mengaibkannya. Mungkin sudah biasa menggunakan kuasa atau sudah selalu menyalahgunakan kuasa, maka anggota polis boleh bertindak sewenang-wenangnya. Hebatnya pasukan polis kita. Itulah yang terjadi di negara kita, Malaysia. Negara yang kita cinta. Tidak payah kita membongkarkan tentang penyalahgunaan kuasa ini, kerana ianya semakin menjijikkan. Mungkin zaman ini zaman menunjukkan KUASA agaknya.

Celaru dan memang celaru. Kecelaruan masih bermain difikiran tentang tugas-tugas rasmi anggota polis sama ada tidak faham atau taat membuta-tuli sehinggakan tidak dapat membezakan di antara tugas-tugas rasmi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dengan tugas -tugas yang diarahkan oleh orang yang ada KUASA. Tugas Polis kini bukan menjaga keselamatan dan ketenteraman tetapi lebih kepada menjaga kepentingan orang tertentu dan mengambil tindakan keras dan ganas terhadap sesiapa sahaja atas arahan orang yang ber KUASA.
Ke mana guruku pergi, ke mana guruku harus berlari. Namun tugas guru akan ku teruskan jua, demi bangsa, agama dan negara. Jangan takut wahai guruku, perjuanganmu harus diteruskan kerana amanah itu satu tanggungjawab dan tanggungjawab adalah tuntutan sebagai seorang khalifah di muka bumi ini. Amin...
Moga sambutan hari guru kali ini akan membakar semangat mu guru untuk terus berjuang.

1 comments:

WURYANANO said...

Nasib para guru memang masih mem-prihatin-kan, menyedihkan, terutama guru sekolah dasar dan menegah.

Tapi juga ada oknum guru yang tidak boleh ditiru perilakunya.

Semoga dikedepannya nanti, para guru bisa semakin baik dan bahagia hidupnya.

Salam dari Surabaya, Indonesia.