Tuesday, December 4, 2007

Sejauhmana kita menggunakan AKAL ?

Adakah dengan membaca setiap hari sudah menunjukkan kita menggunakan akal? Adakah menghafal setiap teori, falsafah dan prinsip sebagai landasan menunjukkan kita sudah mengunakan akal ? Lulus peperiksaan dengan cemerlang, memperolehi gred yang baik dan mengengam segulung ijazah sudah membuktikan kita menggunakan akal? Sejauhmana kita menggunakan akal dalam kehidupan kita? Apa bezanya orang berakal dan berilmu? Dan apa bezanya akal manusia dengan akal binatang?

Kajian saintifik tentang akal banyak dilakukan oleh para sarjana dan tokoh terkemuka, Malah tokoh-tokoh barat berjaya membuktikan bahawa binatang juga menggunakan akal dalam keadaan-keadaan tertentu. Anjing dan monyet digunakan untuk dilatih dan didik secara pelaziman menunjukkan respon yang positif terhadap hasil pembelajaran. Adakah hasil pembelajaran tersebut sudah membuktikan bahawa ujudnya pembelajaran kerana pengaruh akal?

Sebenarnya jika mengikut kajian, manusia hanya menggunakan akal mereka tidak sampai 10% daripada kapasitinya yang sebenar. Membaca, menghafal, mengingat, memahami, mengetahui tidak tergolong dalam penggunaan akal. Ianya lebih kepada menjana ilmu pengetahuan. Orang yang berilmu pengetahuan tetapi tidak menggunakan akal seperti menuang air di daun keladi. Itulah yang sedang kita hadapi kini, kebanyakkan daripada kita mempelajari ilmu hanya pada permukaan kulit sahaja. Sebab itulah ilmu kita hanya sia-sia. Kenapa setiap tahun ada sahaja para siswazah kita menganggur hingga mencapai puluhan ribu. Tidakkah ilmu itu dapat membantu mereka? Itulah kesannya apabila ilmu yang dituntut bukan dengan niat mulia tetapi bertunjangkan materialistik semata-mata. Jika ilmu dan akal disatukan, maka nescaya ianya mendatangkan banyak manfaat kepada manusia.

Apakah istimewanya manusia yang dianugerahkan akal? Apabila diteliti tentang konsep keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk lain ialah akal pemikiran. Berpandukan akal, manusia dapat mencari ilmu serta memandu mereka ke arah yang baik dan menilai mana yang benar dengan yang salah. Kesesatan dan kemusnahan manusia juga disebabkan mereka tidak menggunakan akal untuk tujuan yang baik. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika diarahkan untuk kebaikan, menjadikan seseorang itu mulia, sekiranya pula diarahkan untuk tujuan kemaksiatan dan kejahatan, menyebabkan manusia itu binasa dan hina.
Al-Quran menyebut banyak kali berkaitan dengan akal dan Allah menyatakan tentang bukti-bukti kekuasaan-Nya untuk manusia memikirkan dengan menggunakan akal untuk mengkaji, mencari ilmu dan mengukuhkan keimanan kepada-Nya, contohnya : Penciptaan buah-buahan dan segala apa yang ada di dunia adalah untuk mereka yang memikirkan dan suka menggunakan akal.

Akal fikiran merupakan anugerah Allah s.w.t yang paling utama kepada manusia, kriteria terpenting yang membezakan mereka daripada makhluk selainnya. Akal adalah neraca dalam menentukan kebaikan dan keburukan. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah Allah s.w.t yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang.

Kebahagiaan dan kesengsaraan abadi manusia di hari akhirat turut ditentukan oleh penilaian dan kebijaksanaan akalnya. Pengakuan yang dikemukakan oleh penghuni neraka begitu jelas menggambarkan realiti ini. Mereka berkata; Jika kami mendengar dan berfikir nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka, surah al-Mulk, ayat 10.

Menerusi akal, manusia berpeluang meningkatkan pencapaian dirinya sama ada untuk kehidupan dunia ataupun bekalan di hari akhirat. Al-Quran memberikan kedudukan yang istimewa kepada akal. Islam menjadikan berfikir sebagai satu kemestian ke atas semua manusia. Berfikir dianggap sebagai bentuk ibadah yang tertinggi. Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud: Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur serta berfikir pada kejadian langit dan bumi (lalu berkata) Tuhan kami sesungguhnya Engkau tidak jadikan semua ini sebagai satu kebatilan, maha suci Engkau. Maka lindungilah kami daripada azab neraka, surah al-Imran, ayat 190.

Demikian juga kita dapat melihat pandangan Islam yang begitu tinggi terhadap penggunaan akal fikiran yang membawa kepada perkembangan sains dan teknologi. Menurut Imam al-Ghazali juga sumber ilmu juga dapat dicapai dan diperolehi melalui akal, dimana akal itu hendaklah diarah kepada pemikiran atau fitrah akal yang positif hendaklah digunakan untuk mengkaji, berfikir dan memahami sesuatu hingga menghasilkan pengetahuan, sama ada berbentuk pengalaman atau ilmu itu sendiri. Maka di sini jelas bahawa, akal digunakan untuk berfikir bagi menjana ilmu baru, menyelesaikan masalah, mengabungkan sumber pengetahuan dan membentuk idea, membuat analisis, menilai dan mengambil tindakan. Sumber ilmu boleh didapati dengan belajar dan membuat kajian. Imam al-Ghazali menambah lagi, binatang yang tidak berakal boleh dibentuk dan dididik, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu.

Oleh itu anugerah akal merupakan sesuatu nikmat dan rahmat yang besar. Lantaran akal adalah amanah seperti nikmat lain. Islam melarang keras perbuatan merosakkan kawarasan akal. Sebagai rumusan, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, akal memerlukan dalil, Bertaqlid tanpa menggunakan akal adalah satu kebodohan manakala menggunakan akal sahaja tanpa wahyu Ila’hi dan sunnah nabi adalah satu penipuan. Justeru itu akal mesti digabungkan dengan ilmu penetahuan, kerana ilmu pengetahuan seumpama makanan dan akal umpama ubat.

0 comments: