Tuesday, May 8, 2007

Bagaimana Membina Matlamat ?

Setiap insan impikan masa depan yang penuh kejayaan, kemakmuran dan kesempurnaan. Segalanya yang kita impikan boleh digambarkan di dalam fikiran. Penuh dengan kegembiraan dan kecemerlangan. Steven R Covey (2005) menyatakan penetapan matlamat di dalam kehidupan amat penting kerana ianya akan menjadi pendorong kepada mendapat apa sahaja yang diimpikan. Mempunyai matlamat secara tidak langsung akan membina sikap yang positif dan memberi kekuatan untuk mencapainya. Contohnya, sebelum memulakan perjalanan, anda menentukan destinasi anda dan merancang jalan yang paling sesuai, Sebelum anda membina rumah idaman anda, anda merancang dalam minda anda tentang gambaran rumah, bilangan dan kedudukkan bilik, rekaan dalaman dan sebagainya sebelum ianya dilakarkan di atas kertas dan diberikan kepada pereka plan dan arkitek.

Setiap matlamat mesti mempunyai titik permulaan dan pencapaiannya di mana kejayaan adalah ukurannya. Mulakan dengan membina matlamat berdasarkan prinsip bahawa semua benda dicipta dua kali, mula-mula adalah ciptaan mental kemudian ciptaan fizikal. Ciptaan mental bermaksud gambaran awal yang digambarkan melalui imej di dalam minda dan ciptaan fizikal adalah hasil imej di dalam minda yang diterjemahkan melalui lakaran, membina dan akhirnya membentuk struktur fizikal yang dapat menjelaskan imej yang anda gambarkan di dalam minda. Bagaimana anda boleh membina keyakinan diri dengan matlamat anda?

Tetapkan masa
Tentukan jangka masa untuk mencapai matlamat. Mungkin dua jam, satu minggu atau satu tahun. Rancangkanlah penggunaan masa supaya tidak terpesong daripada matlamat oleh sifat suka bertangguh, hilang tujuan, kekuatan was-was dan kerisauan.

Mengetahui kekuatan diri
Kita mesti mengetahui kekuatan diri dari segi pengetahuan, kemampuan, kemahiran dan sumber-sumber lain. Apabila dapat mengenal pasti kekuatan diri, kita akan lebih berkeyakinan merancang tindakan yang akan diambil. Perlunya kita mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengubah diri dari dalam dan bersiap sedia menjauhi atau mengatasi halangan yang menanti.



Mengenalpasti kelemahan diri
Mengetahui kelemahan diri bukannya mencari alasan tidak melakukan sesuatu tetapi untuk mengenal pasti cara mengatasinya. Kebanyakan orang mewujudkan keterbatasan dan kelemahan diri sebagai alasan. Selalulah bandingkan diri anda dengan orang lain. Sekiranya anda mempunyai kelebihan itu adalah satu kurniaan dan jika ada kelemahan, cuba atasinya. Jadilah orang yang cemburu dengan kejayaan orang lain tanpa menjatuhkannya tetapi baikilah diri untuk menjadi sepertinya. Ramai antara kita mempunyai matlamat tanpa memikirkan sama ada ianya sesuai atau tidak dengan kemampuan untuk mencapainya. Adakah matlamat itu akan menjadi suatu impian atau angan-angan semata-mata.

Ciri-ciri suatu matlamat mestilah mempunyai kriteria berikut :

Jelas
Matlamat anda haruslah jelas, terang dan nyata. Bukannya kabur. Contohnya sebagai ibu bapa, Jika anda mahu memelihara anak yang bertanggungjawab dan berdisiplin-kendiri, anda perlu mengingat matlamat itu ketika berinteraksi dengan anak-anak anda setiap hari. Anda tidak boleh bertindak kepada mereka dengan melemahkan disiplin-kendiri atau penghargaan-kendiri.

Mencabar
Bila anda menetapkan matlamat, biarlah ianya mencabar keupayaan anda iaitu sukar untuk dicapai tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Bila ianya mencabar keupayaan anda, anda akan menjadi lebih kreatif, lebih bersemangat, lebih berusaha dan lebih kuat dorongan untuk mencapainya.

Boleh diukur
Matlamat anda harus boleh diukur apabila telah tiba jangka masa yang ditetapkan. Contohnya, bila mendapat pengiktirafan dan berjaya mencapai sebagaimana matlamat anda? Ketika inilah anda boleh menilai keupayaan anda yang sebenarnya.Untuk menjadi seorang yang benar-benar berjaya, anda mestilah membina satu sikap keyakinan diri yang tinggi pada diri dan kemampuan anda. Anda perlu merancang kerana perancangan yang teratur dapat mengurangkan sikap yang suka menangguhkan sesuatu tindakan. Anda perlu mengenali diri anda dan menyayangi diri. Tetapkan matlamat anda dan bersedialah untuk mengambil langkah-langkah seturusnya ke arah pencapaian kejayaan dan masa depan yang lebih gemilang. Ingatlah kata pujangga, "Orang bijaksana adalah orang yang mampu mengenal keupayaan dirinya".

0 comments: