Thursday, December 6, 2007

Kenali Diri Anda

Terima kasih kepada Professor Dr. Abdul Rahman yang banyak memberi penerangan beliau tentang Watak dan Personaliti ini. Kuliah beliau amat berkesan dan memberi input yang berguna kepada saya. Maka di sini saya akan berkongsikan dengan anda tentang lima jenis watak yang ditemui oleh Havinghurst dan Taba. Havinghurst dan Taba menyatakan bahawa setiap individu mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan satu watak daripada watak yang lain. Anda tergolong dalam watak dan personaliti yang mana ? Selamat meneroka diri anda. Renung-renungkan lah...........


Self-directive
Individu yang mempunyai watak ini berpegang kepada prinsip moral sejagat dan tingkah lakunya diarah oleh kod moral sendiri. Inividu ini mempunyai reputasi yang_tingqi dalam pergaulan seperti jujur, bertanggungjawab dan keberanian moral. Bagaimanapun, dia.lemah dari segi kesetiaan dan kemesraan. Individu yang mempunyai watak ini sanggup menerima tanggungjawab kepimpinan dan sentiasa ingin memperbaiki diri. Latarbelakang keluarganya adalah mesra dan penuh kasih sayang; Dia berasal dan keluarga yang berjaya, hasil daripada usaha sendiri, dan ini menghasilkan perangai self-directed. Oleh itu. individu ini meletakkan standard moral yang tinggi dalam dirinya. Kebanyakan individu yang berada pada kategori ini merupakan mereka yang berjaya dan hidup.


Adaptive
Individu ini dapat menyesuaikan dirinya dalam apa jua situasi dan keadaan. Dia seorang yang akur kepada keadaan atau persekitaran dan mampu berjaya kerana mudah menyesuaikan diri. Ini disebabkan mereka mempunyai social intelligence yang menjadikan sahsiah mereka tidak agresif. mesra serta boleh bercampur dengan semua peringkat masyarakat. Individu yang mempunyai watak ini biasanya datang dari keluarga yang penyayang dan liberal di mana mereka berasa selamat serta diberikan galakan dari kecil lagi supaya bergaul dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial.

Submissive
Individu dengan watak ini dikatakan mempunyai sifat suka menerima sesuatu secara pasif, tidak kritikal. tidak yakin pada diri sendiri, dan sangat patuh kepada autoriti. Mereka merasa selamat dengan mengakur kepada standard yang dikenakan oleh orang lain yang berkuasa. Individu submissive tidak suka berhadapan dengan konflik dan.sekiranya berlaku konflik. dia suka menarik diri. Individu ini mempunyai personaliti yang juga degil serta berkepala batu dan sukar untuk mempengaruhi atau mengubah keputusan mereka jika mereka sudah membuat keputusan tentang sesuatu. Ini menggambarkan sifat taksub mereka kepada sesuatu ideologi pemimpin atau autoriti. Individu ini datang dari keluarga yang tradisional (autoritarian) di mana cara didikan adalah menggunakan kuasa.

Defiant
Individu berwatak defiant ini suka menentang, bermusuhan atau melawan oranq lain. Mereka bersikap anti establishment dan menunjukkan dengan terang yang mereka bermusuh dengan masyarakat. Mereka tidak ada kejayaan sosial sama ada dalam kumpulan besar atau kecil. Individu ini tidak mempunyai suara batin dan hanya ada kepentingan diri dalam membuat sesuatu. Individu ini juga dikenali sebagai maladjusted, sesuatu yang negatif pada personaliti individu tersebut. Ini menyebabkan mereka tidak dapat membina hubungan yang baik dengan orang lain.


Unadjusted
Individu yang mempunyai watak ini dikenal pasti sebagai seorang yang insecure serta mempunyai banyak masalah tetapi hat ini tidak jelas kepada orang lain. Watak individu ini belum lagi wujud dan boleh dikatakan amoral, iaitu dia belum dapat mengenali sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk. Jahat atau baik. Oleh kerana individu itu unadjusted, dia selalu berasa tidak selamat dan sentiasa menghadapi masalah dengan keluarga atau kerja. Biasanya individu jenis ini tidak dapat mencapai kebolehan yang sebenar. Bagaimanapun mereka tidak terang-terang bermusuh dengan masyarakat dan masih cuba mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Tuesday, December 4, 2007

Sejauhmana kita menggunakan AKAL ?

Adakah dengan membaca setiap hari sudah menunjukkan kita menggunakan akal? Adakah menghafal setiap teori, falsafah dan prinsip sebagai landasan menunjukkan kita sudah mengunakan akal ? Lulus peperiksaan dengan cemerlang, memperolehi gred yang baik dan mengengam segulung ijazah sudah membuktikan kita menggunakan akal? Sejauhmana kita menggunakan akal dalam kehidupan kita? Apa bezanya orang berakal dan berilmu? Dan apa bezanya akal manusia dengan akal binatang?

Kajian saintifik tentang akal banyak dilakukan oleh para sarjana dan tokoh terkemuka, Malah tokoh-tokoh barat berjaya membuktikan bahawa binatang juga menggunakan akal dalam keadaan-keadaan tertentu. Anjing dan monyet digunakan untuk dilatih dan didik secara pelaziman menunjukkan respon yang positif terhadap hasil pembelajaran. Adakah hasil pembelajaran tersebut sudah membuktikan bahawa ujudnya pembelajaran kerana pengaruh akal?

Sebenarnya jika mengikut kajian, manusia hanya menggunakan akal mereka tidak sampai 10% daripada kapasitinya yang sebenar. Membaca, menghafal, mengingat, memahami, mengetahui tidak tergolong dalam penggunaan akal. Ianya lebih kepada menjana ilmu pengetahuan. Orang yang berilmu pengetahuan tetapi tidak menggunakan akal seperti menuang air di daun keladi. Itulah yang sedang kita hadapi kini, kebanyakkan daripada kita mempelajari ilmu hanya pada permukaan kulit sahaja. Sebab itulah ilmu kita hanya sia-sia. Kenapa setiap tahun ada sahaja para siswazah kita menganggur hingga mencapai puluhan ribu. Tidakkah ilmu itu dapat membantu mereka? Itulah kesannya apabila ilmu yang dituntut bukan dengan niat mulia tetapi bertunjangkan materialistik semata-mata. Jika ilmu dan akal disatukan, maka nescaya ianya mendatangkan banyak manfaat kepada manusia.

Apakah istimewanya manusia yang dianugerahkan akal? Apabila diteliti tentang konsep keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk lain ialah akal pemikiran. Berpandukan akal, manusia dapat mencari ilmu serta memandu mereka ke arah yang baik dan menilai mana yang benar dengan yang salah. Kesesatan dan kemusnahan manusia juga disebabkan mereka tidak menggunakan akal untuk tujuan yang baik. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika diarahkan untuk kebaikan, menjadikan seseorang itu mulia, sekiranya pula diarahkan untuk tujuan kemaksiatan dan kejahatan, menyebabkan manusia itu binasa dan hina.
Al-Quran menyebut banyak kali berkaitan dengan akal dan Allah menyatakan tentang bukti-bukti kekuasaan-Nya untuk manusia memikirkan dengan menggunakan akal untuk mengkaji, mencari ilmu dan mengukuhkan keimanan kepada-Nya, contohnya : Penciptaan buah-buahan dan segala apa yang ada di dunia adalah untuk mereka yang memikirkan dan suka menggunakan akal.

Akal fikiran merupakan anugerah Allah s.w.t yang paling utama kepada manusia, kriteria terpenting yang membezakan mereka daripada makhluk selainnya. Akal adalah neraca dalam menentukan kebaikan dan keburukan. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah Allah s.w.t yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang.

Kebahagiaan dan kesengsaraan abadi manusia di hari akhirat turut ditentukan oleh penilaian dan kebijaksanaan akalnya. Pengakuan yang dikemukakan oleh penghuni neraka begitu jelas menggambarkan realiti ini. Mereka berkata; Jika kami mendengar dan berfikir nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka, surah al-Mulk, ayat 10.

Menerusi akal, manusia berpeluang meningkatkan pencapaian dirinya sama ada untuk kehidupan dunia ataupun bekalan di hari akhirat. Al-Quran memberikan kedudukan yang istimewa kepada akal. Islam menjadikan berfikir sebagai satu kemestian ke atas semua manusia. Berfikir dianggap sebagai bentuk ibadah yang tertinggi. Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud: Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur serta berfikir pada kejadian langit dan bumi (lalu berkata) Tuhan kami sesungguhnya Engkau tidak jadikan semua ini sebagai satu kebatilan, maha suci Engkau. Maka lindungilah kami daripada azab neraka, surah al-Imran, ayat 190.

Demikian juga kita dapat melihat pandangan Islam yang begitu tinggi terhadap penggunaan akal fikiran yang membawa kepada perkembangan sains dan teknologi. Menurut Imam al-Ghazali juga sumber ilmu juga dapat dicapai dan diperolehi melalui akal, dimana akal itu hendaklah diarah kepada pemikiran atau fitrah akal yang positif hendaklah digunakan untuk mengkaji, berfikir dan memahami sesuatu hingga menghasilkan pengetahuan, sama ada berbentuk pengalaman atau ilmu itu sendiri. Maka di sini jelas bahawa, akal digunakan untuk berfikir bagi menjana ilmu baru, menyelesaikan masalah, mengabungkan sumber pengetahuan dan membentuk idea, membuat analisis, menilai dan mengambil tindakan. Sumber ilmu boleh didapati dengan belajar dan membuat kajian. Imam al-Ghazali menambah lagi, binatang yang tidak berakal boleh dibentuk dan dididik, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu.

Oleh itu anugerah akal merupakan sesuatu nikmat dan rahmat yang besar. Lantaran akal adalah amanah seperti nikmat lain. Islam melarang keras perbuatan merosakkan kawarasan akal. Sebagai rumusan, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, akal memerlukan dalil, Bertaqlid tanpa menggunakan akal adalah satu kebodohan manakala menggunakan akal sahaja tanpa wahyu Ila’hi dan sunnah nabi adalah satu penipuan. Justeru itu akal mesti digabungkan dengan ilmu penetahuan, kerana ilmu pengetahuan seumpama makanan dan akal umpama ubat.

Friday, November 23, 2007

Yang Jelas Yang Nyata

Yang jelas yang nyata
hanya Dia Sang Pencipta
kita hamba tiada apa
hina penuh noda dosa
diberi akal untuk belajar
diberi ujian supaya bersabar
diberi ilmu untuk bersyukur
diberi syarat supaya akur
limpah kurnia tiada terhingga
dari mula hingga akhirnya
hidup di dunia dengan izin-Nya
kembali nanti bertemu semula
akan dihitung amal segala
beruntung pada yang bersih jiwa
syurga menanti demikian indahnya
sebagai balasan kebaikan di dunia
semoga kita tergolong jua
diampunkan Tuhan sekelian dosa
di dunia dan akhirat mendapat redhaitulah
kemenangan yang tiada tara....

Wednesday, November 14, 2007

Guruku


Guru atau istilah lainnya adalah pendidik, pengajar, cikgu, mentor dan juga disebut sebagai tutor merupakan istilah yang digunakan kepada penyebar, penyampai ilmu pengetahuan sama ada secara formal atau tidak formal. Dalam definisi yang lebih luas, setiap orang yang mengajarkan suatu hal yang baru dapat juga dianggap seorang guru. Penghormatan terhadap seorang guru sangat tinggi, malah dalam setiap agama di dunia ini meletakkan taraf guru di tempat yang sewajarnya mereka perlu dihormati dan disanjungi.

Peranan dan tanggungjawab guru semakin mencabar, pendidikan dan ilmu semakin berkembang maju, arus perubahan teknologi pendidikan memaksa guru berlari bersama agar selaras dengan kehendak negara. Pendidikan berorentasikan kecemerlangan bangsa mengikut Falsafah Pendidikan Negara menjadi tunjang utama dalam mensasarkan pelajar berkembang secara seimbang dari pelbagai sudut. Dan dalam masa yang sama, pembangunan ini seperti terencat dengan palbagai masalah sosial, gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang melanda anak didik kita sehingga ianya menjadi satu tanda tanya, di manakah letakkan kesalahan dan kelemahan sistem pendidikan sekarang. Adakah Keseimbangan Intelek, Rohani, Jasmani dan Emosi yang diwawarkan dalam Falsafah Pendidikan Negara tercapai.

Setiap bahagian, cawangan, kementerian dan masyarakat sekeliling mengharapkan kualiti pendidik anak bangsa, pelbagai aktiviti-aktiviti dilaksanakan, sama ada peringkat sekolah, daerah mahupun peringkat yang lebih tinggi. Namun perkara yang lebih utama yang harus difokuskan ialah Guru. Kerana guru merupakan pedamping murid yang paling dekat. Baik guru, baiklah muridnya. Keberkatan guru akan turunlah keberkatan pada anak didiknya.

Kenapa kita perlu pergi jauh, sedangkan yang paling dekat dan berada di depan mata ialah guru. Pelbagai kursus disertai oleh guru dalam memantapkan ilmu pendidikan, malah setiap tahun guru dihantar bagi mengemaskinikan pengetahuan agar tidak lari dari arus pendidikan terkini. Namun seperti ada kekurangannya, dalam masa kita mengejar kelajuan teknologi pendidikan, kita lupa pada kemantapan rohani dan emosi guru. Adakah selama ini, kursus kemantapan rohani dan emosi guru diambil kira dalam agenda kursus yang diikuti oleh guru? Setakat mendidik dengan ilmu pengetahuan sahaja tidak mencukupi jika tidak diseimbangkan dengan kemantapan rohani dan emosi.

Jika falsafah pendidikan mensasarkan keseimbangan, maka guru juga perlu diseimbangkan dengan pengetahuan, kerohanian, emosi dan jasmani. Jika salah satu pincang, maka kegagalan melahirkan anak bangsa yang cemerlang dan seimbang jangan ditunding ke arah guru. Guru perlu mempunyai ilmu dan dalam masa yang sama pengisian ilmu kerohanian perlu agar mereka dapat menyampaikan ilmu dengan hati, perasaan, keperihatinan, kemuliaan dan kecintaan. Jangan jadi guru seperti robot yang tidak mempunyai hati dan perasaan, mengajar mengikut arahan, rigid terhadap ilmu pengetahuan semata-mata dan lupa kepada keperluan emosi dan rohani pelajar.

Guru yang kabur tentang hakikat dan tujuan sebenar dirinya mendidik hanya mencurahkan aspirasi dan khayalan yang tidak berteraskan nilai dan norma kemanusiaan. Mereka mendidik untuk membina intelektual yang pada hakikatnya menghakis dan meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan dan ketuhanan. Pada hal nilai- nilai ini perlu ditekankan untuk kesejahteraan. Apabila guru dibekalkan dengan kemantapan nilai-nilai, kesedaran. dan komitmen terhadap dunia pendidikan, barulah lahirnya kesimbangan dunia pendidikan.

Friday, November 9, 2007

Erti Kebahagiaan

Bahagia itu ada dijiwa
mahkota disinggahsana
rasa bahagia itu adalah suatu ketenangan
bila susah tiada gelisah
bila miskin syukur pada Tuhan
bila sakit tiada resah di jiwa
bukankah Tuhan telah berfirman
ketahuilah dengan mengingati Allah
jiwa akan menjadi tenang
kebahagian itu suatu kesyukuran
bila kaya jadi insan pemurah
bila berkuasa amanah
bila berjaya tidak alpa
bila sihat tidak lupakan Tuhan
hakikatnya bahagia itu adalah ketenangan
bila hati mengingati Tuhan