Thursday, September 6, 2007

Mengaktifkan Kejayaan Personal

Apa yang dimaksudkan tentang mengaktifkan kejayaan personal? Dalam penulisan saya kali ini, saya akan menceritakan bagaimana kita dapat mengaktifkan kejayaan kita melalui personaliti yang kita miliki sekarang.

Setiap orang sebenarnya sudah memiliki kebolehan dalaman , keupayaan dan aset penting dalam diri yang telah dianugerahkan. Keupayaan dan kebolehan yang dimiliki ini adalah berbeza-beza mengikut amanat yang Allah berikan. Sama ada sedar mahupun tidak, kebolehan dan keupayaan semulajadi ini merupakan anugerah Allah kepada kita untuk digunakan dimuka bumi ini bagi kesejahteraan umat dan keamanan dunia sejagat. Bukan untuk kepentingan peribadi.

Bukan semua orang berkebolehan melukis, berkebolehan dalam matematik dan sains, berkebolehan dalam berniaga, mempunyai kebolehan sebagai pemimpin, pengurus dan sebagainya. Memang tidak dinafikan bahawa tiada yang mustahil dipelajari, dipupuk dan disemai namun jika bukan dengan kehendaknya, usaha kita pasti ada sahaja rintangan dan permasalahan yang timbul. Walaupun kita berjaya sampai ke destinasi, tapi permasalahan sering timbul, kerisauan, kebimbangan, ketakutan terhadap kejayaan peribadi menghantui kita dan akhirnya membawa kecelakaan dalam hidup. Kejayaan yang kita bina telah memusnahkan kerohanian, mengaburkan mata, membuta telinga malah melupakan amanat kita. Maka dengan itu kita akan terus mencari, mencari, mencari kejayaan yang hakiki.

Kenapa jadi begini, sedangkan kejayaan sudah kita miliki. Disebabkan kekaburan fungsi dan matlamat sebenarnya kita diutuskan maka kita tidak dapat mengenalpasti keupayaan dan kebolehan ini dengan jelas untuk manfaat sesama insan. Sebab itulah kita masih lagi meraba-raba dan terus mencari. Dalam perjalanan mencari identiti diri, ada yang tergelincir, ada yang tersimpang dan ada yang terus sampai pada destinasinya. Bukan semua orang mudah melihat potensi yang ada dalam dirinya dan bergerak mengikut landasan yang betul.Gangguan-gangguan dari syaitan akan melencong sasaran kita yang sebenarnya bagi mereka yang tidak meminta petunjuk dari Allah.

Bukan semua kejayaan yang kita miliki sekarang adalah petunjuk bahawa inilah yang telah ditakdirkan, diamanatkan dan yang kita mahukan. Satu petanda yang menunjukkan kita berada pada landasan yang benar adalah, kejayaan yang kita miliki sekarang menjadikan kita lebih tunduk kepada Allah, lebih mencintainya, lebih merasakan dekatnya ia disisi kita, malah setiap saat pun kita tidak pernah lalai daripada mengingatinya. Adakah sekarang anda merasakan kehadirannya di sebelah anda sekarang? “Selangkah kau cuba mendekatiku, beribu langkah aku berlari mendapatkanmu”. Itulah janji Allah kepada umatnya.

Jika kita lihat kejayaan seseorang dalam hidupnya sebenarnya adalah melalui bimbingan Allah. Erti kejayaan sangat luas, namun disebabkan butanya mata, maka kejayaan disalahertikan oleh manusia yang mencipta kejayaan melalui persepsinya sendiri. Mereka yang berjaya sebenarnya dapat melihat ke dalam diri dan berinteraksi dengan kuasa tertinggi bagi menentukan jalan yang harus dilalui selagi nyawa dikandung badan, menggunakan potensi anugerah Allah untuk kepentingan bersama. Tapi sukarkan, kerana kita hanya berminat untuk memperolehi sesuatu yang boleh membantu diri masing-masing mencapai kejayaan peribadi dan bukannya membantu sesama manusia. Alangkah baiknya jika kita dapat mengubah sikap dulunya pentingkan diri sendiri kepada sikap dulukan kepentingan bersama.

Cuba anda nyatakan sedemikian dalam diri anda “ Kebolehan dan keupayaanku bertambah baik adalah anugerah Allah untuk digunakan bagi memberikan sumbangan kepada masyarakat.” Sebutkan sentiasa dalam diri anda, maka itulah kejayaan anda sebenarnya.

Saturday, September 1, 2007

Kuasa Intuisi Bimbingan Allah (Fasa2)

Intuisi sebenarnya sudah ujud sejak azali lagi apabila setiap insan dilahirkan di muka bumi ini. Arristotle dan Emul Kant pakar psikologi terkenal telah membincangkan tentang intuisi ini dengan mendalam dalam buku-buku beliau. Malah Jose Silwa dan Steven Covey juga ada menerangkan tentang wujudkan kuasa tertinggi yang membimbing manusia melalui intuisi.


Intuisi dan bisikan hati berbeza. Pelbagai istilah tentang intuisi ini telah diperdebatkan oleh pakar-pakar psikologis Sama ada intuisi itu merupakan suara hati, bisikan hati atau gerak hati. Namun di sini apa yang ingin saya bimcangkan adalah tentang intuisi atau lebih dikenali sebagai “instinct” atau gerak hati. Intuisi adalah gerak hati spontan dan bukannya bisikan suara halus atau suara hati yang bermain-main di minda. Bagi memperjelaskan dengan lebih lanjut lagi perbezaan intuisi dan suara hati saya akan berikan contohnya di sini.

Katakan anda ingin keluar rumah menaiki kereta, gerak hati anda macam rasa berat tetapi memikirkan perlu juga memberi barangan dapur maka anda terus mengambil kunci kereta dan keluar. Dalam perjalanan anda di tahan polis kerana anda terlupa menghidupkan lesen kereta. Anda akan menyatakan “ patutlah rasa berat nak keluar”.

Contoh ke dua, anda keluar rumah seperti biasa ke tempat kerja selalunya mengunci pintu sahaja dan tidak memasang mangga kunci tapi hari ini anda tergerak hati untuk memasang mangga. Selepas pulang dari kerja anda dapati pintu rumah sudah dikopak orang namun disebabkan anda memasang mangga pagi tadi maka pemceroboh yang cuba memasuki rumah anda tidak berjaya lalu anda menyatakan “ Nasib baik pagi tadi tergerak hati nak pasang mangga”

Saya rasa semua orang pernah mengalami situasi sedemikian. Siri kejadian secara kebetulan ini kadang-kadang berlaku bukan sekali malah berlaku berkali-kali dalam kehidupan anda termasuk saya. Dan saya menganggapnya bukan satu kejadian secara kebetulan tetapi ada hubungannya dengan suatu kuasa kudus dalam kehidupan kita. Semua kejadian kebetulan yang berlaku itu memberikan pengesahan bahawa wujudnya kuasa Allah yang membimbing kita. Saya percaya bahawa kejadian yang berlaku adalah di luar dugaan dan mendatangkan kesan buruk atau baik tetapi kejadian yang berlaku di luar dugaan itu memberi kesan yang baik di mana suatu kebetulan yang membuktikan kewujudan Allah di sisi kita.

Ramai orang yang mengakui mempunyai kuasa dan kebolehan meramal melalui gerak hati dan mereka mencapai kejayaan yang tinggi dalam kehidupan masing-masing sekalipun ada yang berpura-pura mengakui memiliki gerak hati yang tepat. Kenapa kita ada gerak hati? Siapa yang mengerakkan hati dan mengetuk minda anda untuk bertindak sedemikian ?

Bagaimana anda ingin memastikan bahawa gerak hati ini datangnya daripada bimbingan Allah? Apakah Allah boleh membantu kita mengecapi kehidupan yang baik dan mendapat segala yang dikehendaki melalui panduan dan bimbingannya? Jika kita ingin mendapat bimbingan daripada Allah untuk membantu kita maka kita mesti bersedia mematuhi segala yang disuruh.