Friday, April 27, 2007

Peperiksaan Berpusat Releven ke ?

Sejak lebih satu dekad yang lalu, sistem sekolah berorientasikan peperiksaan atau ‘exam oreinted’ telah menjadi tumpuan dan perhatian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membuat pengujian dan pentaksiran dalam proses menilai pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar di sekolah. Sistem sekolah berorientasikan peperiksaan ini telah mentafsir pelajar mengikut acuan yang dikehendaki oleh pusat. Pelajar yang ‘cemerlang’ adalah pelajar yang berjaya dalam peperiksaan dan pelajar yang ‘gagal’ adalah pelajar yang dicopkan sebagai ‘bodoh’ atau ‘lemah’. Pelajar cemerlang diberikan segala kemudahan, penghargaan, pengiktirafan manakala pelajar yang diistilahkan sebagai ‘gagal’ dipinggirkan, diketepikan sehingga tiada peluang untuknya melanjutkan pelajaran dan mengembangkan potensinya malah mereka ini menghadapi tekanan emosi dan psikologi akibat dasar pendidikan yang kita amalkan sekarang.

Othman Lebar (2005) menyatakan bahawa akibat dasar pendidikan kita yang berpusatkan peperiksaan telah mengakibatkan pengaruh besar terhadap persepsi masyarakat kita sendiri, pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa juga menyediakan anak mereka mengikut acuan yang ditentukan oleh dasar pendidikan negara tanpa memikirkan perkembangan yang menyeluruh kanak-kanak dan remaja mereka. Masa untuk kanak-kanak berkembang dengan cara semulajadi mengikut perkembangan psikologi telah ‘terbantut’ dengan ledakan ‘tuisyen’, ‘latih tubi’, ‘latihan buku kerja’, dan ‘kerja rumah yang bertimbun-timbun’. Kanak-kanak diajar mengejar impian pihak sekolah untuk meningkatkan peratus kelulusan, guru-guru pula mengajar pelajar kaedah menghafal jawapan untuk peperiksaan manakala ibubapa mula tercari-cari guru tuisyen seawal mereka berumur tujuh tahun. Kehidupan kanak-kanak mereka berlalu begitu sahaja dan diambil alih oleh rutin kerja-kerja persekolahan yang semakin membebankan. Keperluan psikologikal mereka diketepikan dan zaman permainan mereka telah diabaikan. Dasar pendidikan kita sebenarnya menyediakan pelajar untuk ’menghadapi peperiksaan’ bukan untuk menyediakan pelajar menghadapi kehidupan sebenarnya. Hasilnya telah kita perolehi melalui individu yang kita lahirkan tidak tahu untuk menghadapi kehidupan sebenar dalam masyarakat, tidak pandai berdikari dan terlalu bergantung kepada kerajaan untuk menyediakan keselesaan dan pendapatan yang tinggi selepas memperolehi ijazah. Siswazah menganggur setiap tahun semakin bertambah.

Menurut Abd. Rahim Abd. Rashid (1997), Memang telah menjadi budaya kita yang lebih kepada "exam oriented". Ibu bapa menggesa anak mereka bukan sahaja untuk mendapat A tapi mendapat agreget 9 atau 6A. memang sudah ditanam dalam masyarakat kita sejak dulu lagi. Ini bukan perkara baru. Sebab itu kita perlu membuat perubahan asas dalam sistem pendidikan. Perubahan ini bukan kosmetik tetapi perubahan substansif, maknanya kurang berorientasikan peperiksaan. Antaranya kita membuat cadangan supaya tiga peperiksaan sekolah menengah dikurangkan kepada dua. Ini akan mengurangkan tekanan. Antara perubahan kita ialah membolehkan kegiatan kokurikulum diambil kira untk masuk ke universiti. Ketika ini sepuluh peratus dari nilai markah kemasukkan universiti datangnya daripada aktiviti kokurikulum. Bermakna kalau kita aktif dalam teater, pandu puteri, pengakap, penglibatan itu akan diambil kira. Bila kita berubah kepada sekolan bestari nanti kita akan tekankan kepada soal penguasaan ilmu dan kemampuan sendiri iaitu konsep kendiri. Peperiksaan akan dibuat bukan secara konvensional tetapi "examination on demand". (Dr. Abd. Rahim Bin Abd. Rashid; Massa;Bil 90; 7 Jun 1997).

Isu yang berbangkit mengenai konsep peperiksaan yang kurang berorientasikan kepada peperiksaan nanti akan diragui melahirkan graduan yang tidak berkualiti. Datuk Seri Najib Tun Razak Timbalan Perdana Menteri kita kemudiannya menjelaskan bahawa, kita mengatakan kita mahu mengubah sistem pendidikan supaya tidak "exam oriented", jadi kita mesti berpegang kepada keputusan itu. Yang penting ialah penguasaan ilmu dan kemampuan berfikir. Kalau kita hanya berorientasikan peperiksaan, kita akan hanya menghafal. Jadi kita tidak membentuk minda pelajar. (Datuk Seri Najib Tun Razak; Massa;Bil 91; 14 Jun 1997;25).

Penghapusan sistem peperiksaan sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan menimbulkan banyak tanda tanya dan perbincangan terbuka dikalangan pendidik, khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi dan masyarakat umum yang perihatin dengan hal-hal pendidikan negara ini. Idea penting yang mendasari reformasi sistem peperiksaan dan penilaian yang dicadangkan itu dikira bersesuaian dengan semangat dan budaya baru pembelajaran untuk melangkah perubahan abad ke 21. Sistem peperiksaan kita sememangnya perlu dirombak sebagai satu langkah penting merintiskan pembaharuan pendidikan negara. Dalam zaman era teknologi dan komunikasi ini banyak menyumbang kepada tahap dan bentuk baru dalam kreativiti dan pembelajaran pelajar. Perubahan dalam peranan guru daripada ’pendita di atas pentas’ kepada mentor, penyelidik, pengguna teknologi, penghasil pengetahuan, pengambil risiko dan pembelajaran seumur hidup telah ditekankan. Namun begitu adakah sistem peperiksaan yang diamalkan sekarang telah mengongkong serta menyekat kreativiti guru dalam mempelbagaikan keadah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Daripada kajian-kajian lepas (Sulaiman Masri, 1998 ; Isahak Haron, 2005; Subadrah, 2006) , menunjukkan bahawa sistem berorientasikan peperiksaan menunjukkan pengaruh besar terhadap iklim persekolahan di Malaysia. Sama ada pihak pentadbir sekolah yang berlumba-lumba meningkatkan peratus kecemerlangan, guru-guru yang tidak berhenti-henti memberi latihan, latih-tubi, mengajar pelajar menghafal, pelajar-pelajar yang didesak memenuhi tuntutan peperiksaan setara dan bukan belajar untuk memperkembangan pengetahuan, minat, kreativiti dan potensi secara menyeluruh serta ibubapa yang ditanam mindanya bahawa peperiksaan adalah segala-galanya dalam hidup anak mereka.

Zaman Global Pendidikan Kolonial

Zaman Global pendidikan kolonial

Adakah anda bersetuju dengan saya? Sekali pandang memang pendidikan menjurus kepada perubahan, namun adakah perubahan kurikulum, perubahan teknologi, perubahan zaman telah mengubah sistem pendidikan kita ke arah yang lebih efektif ? Sejauhmana sistem pendidikan kita telah berubah ? Dari zaman kolonial, pasca kolonial hingga sekarang zaman globalisasi , apakah perubahan yang nyata dalam sistem pendidikan kita ? Jika setakat mengubah kurikulum, mengubah sukatan, menambah mata pelajaran, mengubah struktur pendidikan dan infrastruktur sekolah mengikut arus teknologi sudah dikira mengubah sistem pendidikan kita ke arah yang lebih baik dan boleh bersaing ke peringkat dunia ? Wahai para cendiakiawan, wahai para ilmuan, guru-guru, ibu-ibu dan bapa-bapa sekalian, marilah kita sama-sama merenung semula sistem pendidikan dulu dan sekarang. Memang pada hakikatnya banyak perubahan, banyak kejayaan, banyak kecemerlangan tetapi kenapa pula banyak kutu, banyak habuk, dan banyak sampah yang kita timbunkan. Kita sering mendengar bahawa pendidikan akan mengubah nasib, pendidikan akan menjadikan manusia itu lebih mulia, beramal, berakhlak, mendekatkan diri dengan pencipta malah dalam Islam sebagai agama kita mengangkat darjat ilmu itu ke peringkat yang paling mulia. Tapi apa sudah jadi ? Universiti, kolej, Institusi kemahiran semakin bertambah, graduan semakin ramai dilahirkan, Jenayah semakin menjadi-jadi, keruntuhan akhlak di sana-sini, sama naik dengan bilangan graduan yang keluar masuk di universiti. Salahkan sistem pendidikan? Salahkan Ibubapa ? Salahkan Masyarakat ? Salah Guru ? Jangan menunding jari kepada sesiapa ? Bukan saya mencari kesalahan, bukan mencari siapa yang perlu dipertanggungjawabkan. Apa yang baik dan memberi manfaat kepada negara kita adalah memberi padangan yang berguna, idea yang bernas dan boleh membuka mata dan mengubah keadaan kepada yang lebih baik. Insyakallah.